KUALA LUMPUR – Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap keadaan kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, selain menegaskan dunia tidak boleh terus membiarkan kezaliman berlarutan tanpa tindakan tegas.
Pengerusi SHURA, Datuk Wira Ustaz Abdul Ghani Samsudin berkata, sejak Oktober 2023, penderitaan rakyat Palestin di Gaza semakin parah melibatkan pembunuhan orang awam secara besar-besaran, kemusnahan infrastruktur, sekatan bantuan kemanusiaan serta serangan berulang ke atas kemudahan kesihatan dan pusat perlindungan.
Beliau berkata, meskipun terdapat pengumuman gencatan senjata dalam tempoh tertentu, serangan dan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa terus berlaku.
“Impuniti atau kekebalan terhadap pelaku keganasan merupakan faktor utama yang membolehkan tragedi ini berlarutan. Selagi pelanggaran undang-undang antarabangsa tidak dikenakan tindakan tegas, risiko pengulangan jenayah kemanusiaan akan terus wujud,” katanya menerusi kenyataan media mingguan sempena Hari Al-Quds Sedunia 2026.
SHURA menegaskan, dari perspektif syariah, perlindungan nyawa manusia merupakan prinsip asas yang sangat dititikberatkan dan pembunuhan tanpa hak adalah jenayah besar terhadap kemanusiaan.
Mengambil firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah ayat 32, kenyataan itu menyebut bahawa sesiapa yang membunuh seorang manusia tanpa alasan yang dibenarkan seolah-olah telah membunuh seluruh manusia.
Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam dan rakyat Malaysia yang prihatin untuk menghadiri Himpunan Hari Al-Quds Sedunia yang akan diadakan pada 13 Mac 2026 (Jumaat) di Bangunan Tabung Haji, Kuala Lumpur selepas solat Jumaat.
Antara tujuan perhimpunan tersebut adalah bagi menyatakan solidariti terhadap perjuangan pembebasan Palestin dan mempertahankan Masjid Al-Aqsa, selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu jenayah perang serta penindasan berterusan di Gaza dan Tebing Barat.
Dalam masa sama, SHURA menggesa masyarakat antarabangsa khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar mengambil langkah lebih tegas bagi menghentikan keganasan dan memastikan perlindungan orang awam.
Turut ditekankan ialah keperluan siasatan bebas antarabangsa terhadap dakwaan jenayah perang, pembukaan akses bantuan kemanusiaan tanpa sekatan serta usaha jangka panjang ke arah penyelesaian adil berasaskan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan sendiri.
“Isu Gaza bukan sekadar isu geopolitik tetapi ujian terhadap nilai kemanusiaan sejagat. Dunia tidak boleh terus membiarkan penderitaan berlarutan tanpa tindakan bermakna,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI