KRUBONG – Aksi sengit dipamerkan kedua-dua pasukan, namun jaringan tetap tidak kunjung tiba apabila Melaka FC dan Selangor FC terikat tanpa jaringan dalam saingan Liga Super Malaysia 2025/26 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.
Keputusan 0-0 mungkin tampak hambar di atas kertas, namun realitinya perlawanan berlangsung penuh intensiti dengan kedua-dua penjaga gol menjadi watak utama.
Penjaga gol Melaka, Firdaus Irman dan rakan sejawatnya dari Selangor, Kalamullah Al-Hafiz, masing-masing menampilkan aksi bertaraf pemain terbaik perlawanan apabila berjaya memastikan gawang tidak dibolosi.
Selangor yang diketuai kapten lincah, Faisal Halim, mempamerkan penguasaan awal sebaik wisel permulaan ditiup. Gandingan Alvin Fortes dan Chrigor Moraes mengetuai jentera serangan pelawat dengan beberapa percubaan berbahaya.
Alvin hampir meletakkan Selangor di hadapan menerusi rembatan lencong dari luar kotak penalti, namun bola sekadar melewati tiang gol Melaka.
Skuad tuan rumah tidak sekadar bertahan. Penyerang tinggi lampai, Ahmed Shamsaldin, hampir menceriakan penyokong apabila menanduk tepat ke arah gol, namun Kalamullah bertindak cemerlang dengan satu aksi refleks menyelamatkan keadaan.
Menjelang tamat babak pertama, rembatan deras Mukhairi Ajmal menggegarkan kawasan berhampiran papan iklan, namun kedua-dua pasukan tetap menuju ke bilik persalinan tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua, tempo permainan semakin rancak dengan kedua-dua pasukan beraksi lebih agresif dalam usaha memburu gol kemenangan. Jurulatih Selangor melakukan pertukaran taktikal dengan memasukkan Victor Pernambuco bagi menambah kreativiti di bahagian serangan, namun benteng Melaka kekal ampuh.
Faisal terus menjadi ancaman di bahagian sayap, mencipta beberapa peluang, tetapi Firdaus Irman tampil tenang mengawal setiap hantaran lintang serta menutup ruang dengan kemas.
Melaka hampir mencuri tiga mata menerusi serangan balas yang digerakkan Ruventhiran dan Shahrel Fikri, namun sekali lagi Kalamullah membuktikan kualitinya apabila melakukan satu lagi aksi menyelamat penting pada minit-minit akhir.
Keputusan seri tanpa jaringan menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata dalam pertembungan yang menyajikan aksi berkualiti tinggi, meskipun tanpa sebarang gol. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SFC