Qaseh Atika
AMPANG JAYA – Keluarga seorang remaja perempuan buntu selepas anak mereka dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak keluar pada 13 September lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja berbangsa Melayu itu pada jam 10.31 malam, 18 September 2026.
Menurutnya, bapa remaja berkenaan memaklumkan anaknya sudah keluar dari rumah di Jalan UP 3/7B, Taman Ukay Perdana, di sini, sejak 13 September lalu.
“Remaja berkenaan mempunyai ketinggian kira-kira 157 sentimeter, berat 48 kilogram, berkulit hitam manis, berambut panjang berwarna hitam dan tidak memakai cermin mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Remaja berkenaan dikenali sebagai Qaseh Atika Mohd Naim Abdullah.
Lokasi terakhir Qaseh Atika adalah di Jalan UP 3/7B, Taman Ukay Perdana, 68000 Ampang, Selangor.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan remaja itu diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan IPD Ampang Jaya di talian 03-42897222.
Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, SM Nurul Faten Nadia Nor Azmi di talian 011-26001158.
Polis menasihatkan orang ramai, khususnya ibu bapa dan penjaga, supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak di bawah jagaan masing-masing dan tidak membenarkan mereka keluar bersendirian.
Kes masih dalam siasatan dan maklumat lanjut akan dimaklumkan kepada orang ramai. – DETIK MALAYSIA
