NAGOYA, JEPUN – Pengerusi Jawatankuasa Etika dan Integriti ASTAF, Jais Abdul Karim berkata, beliau bersedia memikul amanah sebagai International Technical Official (ITO) pada kejohanan Sepaktakraw yang berlangsung di Nagoya, Jepun.
Beliau berkata, antara tanggungjawab yang akan dilaksanakan adalah menghadiri Kursus Penyegaran Pengadil (Referees Refresher Course) di The Strings Hotel Nagoya sebagai sebahagian daripada persiapan penting menjelang pertandingan.
Menurutnya, selain menjalankan tanggungjawab teknikal, beliau turut akan membuat liputan serta melaporkan perkembangan, informasi dan berita penting sepanjang kejohanan untuk dikongsikan bersama komuniti Sepaktakraw.
“Satu lagi tanggungjawab penting ialah membantu memastikan etika dan integriti sentiasa menjadi keutamaan dalam kalangan pegawai pertandingan, pengadil, pegawai pasukan serta para peserta.
“Setiap daripada kita membawa nama dan imej sukan Sepaktakraw. Justeru, profesionalisme, disiplin, keadilan, sikap tidak memihak dan penghormatan terhadap peraturan mesti sentiasa dipertahankan,” katanya.

Jais berkata, integriti bukan sekadar mematuhi peraturan ketika diperhatikan, sebaliknya ia adalah melakukan perkara yang betul pada setiap masa termasuk ketika tiada siapa melihat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader (AHK), atas amanah, kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepadanya.
“Pelantikan ini bukan sekadar satu penghormatan, tetapi tanggungjawab besar untuk terus berkhidmat kepada Sepaktakraw dengan penuh profesionalisme, kesetiaan dan integriti.
“Apabila Sepaktakraw terus melangkah ke pentas antarabangsa yang lebih tinggi, standard kita juga mesti meningkat seiring dengan cita-cita besar sukan ini,” katanya.
Beliau yang kini berada di Nagoya berkata, amanah berkenaan akan dilaksanakan dengan penuh komitmen demi memastikan integriti sukan Sepaktakraw terus dipertahankan. – DETIK MALAYSIA
