KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menggantung tugas serta-merta seorang pekerja syarikat kontraktor susulan insiden pertelingkahan dengan penumpang di Stesen Labu, Selasa lalu.
KTMB menerusi kenyataan rasmi semalam menjelaskan, individu berkenaan bukan kakitangan tetap KTMB, sebaliknya pekerja syarikat kontraktor yang dilantik untuk mengendalikan perkhidmatan di stesen terbabit.
Menurut kenyataan itu, insiden berkenaan berlaku susulan gangguan perkhidmatan KTM Komuter laluan Batu Caves – Pulau Sebang selepas tren terbabit terlanggar seekor babi di Kilometer 446.092 antara Batang Benar dan Labu.
Kejadian tersebut mengakibatkan kira-kira 300 penumpang terpaksa diturunkan di Stesen Labu.
“KTMB memandang serius insiden pertelingkahan ini dan pihak kontraktor telah memaklumkan bahawa gantung tugas berkuat kuasa serta-merta sementara siasatan terperinci dijalankan.
“KTMB menzahirkan rasa kesal atas kesulitan yang dialami oleh para penumpang dan menghargai kesabaran semua pihak yang terjejas dalam gangguan perkhidmatan berkenaan,” katanya, semalam.
Dalam pada itu, pihak pengurusan KTMB menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan tidak profesional dan telah mengarahkan pihak kontraktor mengambil tindakan tatatertib dengan kadar segera.
KTMB turut mengesahkan akan terus bekerjasama dengan syarikat kontraktor bagi memastikan semua petugas di stesen dan kemudahan KTMB sentiasa mematuhi standard perkhidmatan yang ditetapkan. – DETIK MALAYSIA
