KUALA LUMPUR – Serangan ketenteraan terkini terhadap Iran bukan tindakan reaktif berasaskan keselamatan, sebaliknya hasil strategi geopolitik yang dirancang lebih awal.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perkembangan beberapa bulan kebelakangan ini menunjukkan Amerika Syarikat dan Israel telah menyediakan pilihan ketenteraan ketika saluran diplomatik masih berjalan secara terbuka.
Menurut beliau, masa serangan yang berlaku selepas proses rundingan belum sepenuhnya gagal menimbulkan persoalan serius sama ada diplomasi digunakan sekadar untuk mengurus persepsi antarabangsa, sedangkan persiapan ketenteraan digerakkan secara selari.
“Jika rundingan dijalankan tanpa niat tulen untuk mencapai penyelesaian damai, sistem antarabangsa berisiko terjerumus ke dalam bentuk penipuan strategik di mana dialog hanya menjadi instrumen manuver geopolitik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa naratif ‘pertahanan diri awal’ perlu diteliti secara mendalam.
Katanya, undang-undang antarabangsa menetapkan syarat ketat bagi penggunaan kekerasan.
“Tindakan ketenteraan pencegahan atau unilateral tanpa ancaman jelas dan hampir berlaku menimbulkan persoalan undang-undang serta etika yang serius, selain berisiko mewujudkan duluan berbahaya dalam hubungan antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Mapim melihat implikasi geopolitik yang lebih luas sebagai amat membimbangkan.
“Pertama, peningkatan ketegangan melibatkan Iran berpotensi menggugat kestabilan seluruh Asia Barat yang menjadi nadi laluan tenaga dan seni bina keselamatan global.
“Kedua, konfrontasi tersebut berisiko melebar menjadi konflik pelbagai pihak berikutan jaringan pakatan serantau serta penglibatan kuasa besar dunia, sekali gus membuka kemungkinan krisis geopolitik berpanjangan dengan kesan sukar diramal.
“Ketiga, pendekatan ketenteraan itu memperkukuh pola geopolitik koersif, apabila negara berkuasa mengejar dominasi strategik berbanding membina kerangka keselamatan bersama. Situasi ini dikhuatiri meningkatkan polarisasi global serta melemahkan institusi pelbagai hala.
“Keempat, ketidakstabilan berterusan mengalih perhatian dunia daripada krisis kemanusiaan lain termasuk tragedi berpanjangan di Gaza, selain mengekalkan kitaran konflik yang memberi manfaat kepada kepentingan strategik ketenteraan,” katanya.
Mapim turut mengingatkan bahawa sejarah telah membuktikan kesan jangka panjang konflik yang digerakkan melalui campur tangan ketenteraan.
“Iraq, Afghanistan, Libya dan Syria menjadi contoh bagaimana penyelesaian bersifat ketenteraan sering membawa kepada bencana kemanusiaan, perpecahan negara dan ketidakstabilan serantau tanpa menjamin keamanan berkekalan.
“Peningkatan ketegangan semasa berisiko mengulangi pola sama pada skala lebih besar,” tegasnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Cikgu Azmi