ISMAILIA – Impian Malaysia untuk melangkah lebih jauh dalam Kelayakan Piala Dunia Hoki 2026 menerima tamparan hebat apabila tewas 3-5 kepada Pakistan dalam aksi Kumpulan B di Stadium Suez Canal Authority, awal pagi tadi.
Perlawanan yang disifatkan sebagai “kisah dua babak” menyaksikan skuad Speedy Tigers bermula garang sebelum longlai di penghujung aksi.
Malaysia tampil penuh yakin sejak wisel permulaan. Muhajir Abdu Rauf memecah kebuntuan pada minit ke-12 menerusi jaringan padang yang kemas, menewaskan benteng Pakistan yang terpaku.
Tidak sampai dua minit kemudian, sorakan kem Malaysia terus bergema apabila Akhimullah Anuar Esook menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk meletakkan Malaysia selesa di depan 2-0.
Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama.
Pakistan yang terkenal dengan gelaran “Green Shirts” bangkit pantas. Waheed Ashraf Rana dan Zikriya Hayat masing-masing menemui sasaran untuk menyamakan kedudukan 2-2 sebelum suku pertama melabuhkan tirai.
Malaysia kembali mendahului pada minit ke-40 hasil strok penalti yang disempurnakan dengan tenang oleh Fitri Saari, sekali gus menghidupkan semula harapan untuk membawa pulang tiga mata berharga.
Malangnya, 15 minit terakhir menjadi mimpi ngeri buat skuad negara.
Nadeem Ahmad menyamakan kedudukan pada minit ke-45 sebelum Sufyan Khan meledak gol menerusi sudut penalti pada minit ke-49 untuk meletakkan Pakistan di depan buat kali pertama. Ammad Muhammad kemudian melengkapkan kebangkitan dramatik itu dengan gol kelima pada minit ke-56.
Kelekaan selepas mendahului terus menghantui Speedy Tigers di pentas besar. Walaupun jentera serangan tampak berbisa, kelemahan transisi bertahan membuka ruang buat Pakistan menggunakan kepantasan mereka untuk menghukum Malaysia.
Kini, pertemuan menentang China pada Rabu bukan sekadar aksi biasa. Ia ibarat pentas penentuan hidup mati. Sebarang keputusan selain kemenangan bakal menutup tirai impian Malaysia ke Piala Dunia 2026 lebih awal.
Jurulatih Sarjit Singh perlu segera merapatkan barisan pertahanan jika tidak mahu skuad negara sekadar menjadi penonton di pentas dunia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FIH
