PETALING JAYA – Perjuangan tujuh pemain warisan negara kini memasuki fasa paling kritikal apabila mendapat sokongan padu daripada badan pemain bola sepak profesional dunia, FIFPRO.
Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Rob Friend, mendedahkan FIFPRO bersama pasukan perundangan negara berdiri teguh mempertahankan pemain terlibat dalam prosiding selama 12 jam di Court of Arbitration for Sport (CAS), Khamis lalu.
Kes berprofil tinggi itu tercetus selepas tujuh tonggak skuad kebangsaan digantung 12 bulan oleh FIFA pada September tahun lalu susulan dakwaan ‘ketidakaturan dokumen’.
Menurut Friend, pihak lawan menampilkan barisan peguam berpengaruh, namun Malaysia tidak gentar.
“FIFA membawa barisan peguam terbaik mereka, tetapi kami sudah bersedia. Dengan FIFPRO dan pasukan guaman kami, kami berjuang habis-habisan demi keadilan untuk pemain-pemain ini,” katanya.
Rayuan tersebut membabitkan tujuh pemain warisan yang menjadi tulang belakang era baharu Harimau Malaya iaitu Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Imanol Machuca, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces dan Jon Irazabal.
Panel CAS difahamkan memerlukan beberapa hari lagi untuk meneliti segala bukti sebelum mengumumkan keputusan rasmi minggu depan.
Friend tetap optimis dengan perkembangan di Lausanne.
“Ia minggu yang produktif di Lausanne. Kami yakin dengan merit kes ini,” ujarnya.
Keputusan itu bakal menentukan sama ada ‘Magnificent Seven’ ini boleh kembali menyarung jersi kebangsaan dan beraksi bersama kelab masing-masing.
Sebagai pemerhati bola sepak tempatan, pastinya anda juga sedar betapa pentingnya kes ini buat masa depan Harimau Malaya. Jika rayuan berjaya, ia bukan sekadar kemenangan di mahkamah sukan tetapi suntikan moral besar buat revolusi skuad negara. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM