BURIRAM – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli tidak berselindung mengakui masih tercari-cari rentak terbaiknya selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-18 pada pusingan pembukaan musim di Grand Prix of Thailand, semalam.
Pada aksi yang berlangsung di Chang International Circuit, pelumba pasukan AEON Credit – MT Helmets – MSi itu bermula dari petak ke-15 sebelum terperangkap dalam kelompok padat Moto3 yang cukup sengit.
Walaupun cuba mengekori kumpulan hadapan, jurang masa akhirnya melebar lebih 25 saat dengan kemenangan menjadi milik pelumba Sepanyol, David Almansa.
“Saya menamatkan perlumbaan di tempat ke-18 dan ini bukan keputusan yang saya mahukan. Saya cuba ikut kelompok depan, tetapi mereka sangat laju.
“Saya perlu terus tingkatkan prestasi. Saya masih mencari ‘flow’ yang sesuai dengan jentera ini,” katanya dalam rakaman video dikongsikan ZK Racing.
Hakim, 18, mengakui hujung minggu yang sukar itu bukan sekadar isu kepantasan, sebaliknya pasukan teknikalnya masih dalam proses mendapatkan tetapan terbaik susulan pramusim yang sedikit terganggu.
Ujian di Portimao yang dibayangi hujan serta kemalangan di Jerez termasuk insiden melanggar penghadang udara, mengehadkan masa penting untuk pembangunan jentera menjelang aksi di Thailand.
Bagaimanapun, semangat ‘Harimau’ itu jelas belum luntur. Dengan perlumbaan seterusnya dijadual berlangsung di Autódromo Internacional de Goiânia – Ayrton Senna, Hakim melihat peluang baharu untuk merapatkan jurang.
“Memandangkan litar itu baharu kepada hampir semua pelumba musim ini, saya harap ia jadi peluang untuk ‘reset’ dan tutup jurang,” ujarnya.
Sebagai peminat tegar sukan dua roda, pasti anda juga tahu Hakim bukan jenis mudah mengalah. Musim masih panjang, dan langkah pertama selalunya yang paling mencabar. Kini, misi seterusnya adalah bangkit di bumi Amerika Selatan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – GP Thailand Family