KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang sebelum ini mengalami gangguan susulan kejadian pokok tumbang di laluan Sungkai–Slim River semalam, kini kembali beroperasi menggunakan satu landasan bermula jam 6.32 pagi tadi.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan memaklumkan, walaupun operasi tren telah disambung semula, penumpang masih berdepan kesan kelewatan perjalanan berikutan penggunaan laluan tunggal di kawasan terjejas.
Menurut KTMB, kerja-kerja baik pulih sistem elektrifikasi di lokasi kejadian sedang giat dijalankan oleh pasukan teknikal bagi memastikan operasi tren dapat dipulihkan sepenuhnya dengan selamat dan secepat mungkin.
Penumpang ETS yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan akibat kelewatan melebihi dua jam layak mendapatkan pemulangan tambang penuh di kaunter tiket dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perjalanan, tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan.
Selain itu, penumpang yang mengalami kelewatan tren sehingga atau melebihi empat jam dan telah membeli Pelan Takaful Premium boleh membuat tuntutan dengan menghubungi Etiqa Claim Assist di talian 010-368 7829 atau melalui e-mel support@goinsure.com.my
Terdahulu, KTMB turut menyediakan sebanyak 12 bas bagi memindahkan penumpang ke Stesen Slim River bagi perjalanan ke arah utara atau Stesen Sungkai bagi perjalanan ke arah selatan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing menggunakan perkhidmatan tren. Hidangan ringan serta air mineral turut disediakan kepada penumpang melibatkan 12 tren yang terjejas.
Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan menerusi saluran media sosial rasmi KTMB atau penumpang boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200 untuk pertanyaan lanjut.
KTMB sekali lagi memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan merakamkan penghargaan atas kesabaran serta kerjasama para penumpang sepanjang tempoh gangguan berkenaan. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - FB KTM Berhad