KUALA LUMPUR - Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani, akan menyertai sesi latihan bersama skuad kebangsaan sebagai persiapan menghadapi kejohanan Terbuka Malaysia 2026 yang bermula 6 Januari ini.
Ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Herry Iman Pierngadi mengesahkan pasangan bebas itu akan menjalani latihan bersama pasukan negara dua kali seminggu di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Menurut Herry, keputusan itu dibuat selepas jurulatih beregu lelaki negara, Rexy Mainaky memaklumkan hasrat pasangan profesional berkenaan untuk menjalani latihan bersama.
“Jurulatih Rexy ada menghantar mesej kepada saya menyatakan pemain profesional mahu berlatih bersama, dua kali seminggu. Saya kata tiada masalah, lebih-lebih lagi Terbuka Malaysia akan bermula tidak lama lagi,” katanya dipetik Bernama selepas sesi latihan skuad kebangsaan.
Beliau berkata, latihan bersama itu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, khususnya dari segi kualiti ‘sparring’ dan peningkatan intensiti latihan.
“Jika pemain profesional tidak mempunyai rakan latihan mencukupi, mereka boleh menyertai kami di sini. Ia situasi menang-menang,” katanya.
Herry turut percaya sesi latihan bersama itu mampu mewujudkan persaingan sihat memandangkan tahap permainan pasangan profesional berkenaan setara dengan beregu lelaki negara.
“Pada pandangan saya, latihan bersama memang masuk akal kerana mereka berada pada tahap yang sama. Ia hanya akan menjadikan semua pemain lebih baik,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kerjasama itu buat masa ini bersifat jangka pendek dan hanya tertumpu kepada persiapan Terbuka Malaysia 2026.
“Setakat ini hanya untuk Terbuka Malaysia. Untuk perancangan jangka panjang seperti Piala Thomas, masih belum ada perbincangan lanjut,” katanya. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - BAM
