PATHUM THANI, Thailand – Walaupun sudah tersingkir secara matematik daripada perebutan tempat ke pusingan 16 terbaik AFC Champions League Two, Selangor FC tetap bertekad untuk tidak mengangkat bendera putih dalam baki aksi peringkat Kumpulan malam ini.
Ketua jurulatih sementara, Christophe Gamel, bersama tonggak tengah, Zach Clough, menegaskan pasukan berlabel Gergasi Merah itu masih mempunyai sesuatu yang besar untuk diperjuangkan maruah, momentum serta kepercayaan penyokong setia mereka.
Selangor bakal berdepan pasukan handal dari Thailand, Bangkok United, di Stadium Pathum Thani, dalam usaha bangkit selepas mengalami empat kekalahan berturut-turut dalam saingan kumpulan.
Menurut Gamel, pasukannya kini dihimpit beberapa kecederaan, namun beliau tetap optimis dengan kemampuan barisan yang ada.
“Saya percaya kepada pemain yang berada di sini. Saya yakin dengan persembahan yang boleh kami pamerkan selepas ini," katanya selepas sidang akhbar.
Mengakui kekuatan lawan, Gamel menegaskan Selangor turun dengan motivasi berasaskan maruah dan tanggungjawab.
“Kami tahu lawan sangat kuat, tetapi kami tiada apa untuk hilang. Yang penting sekarang ialah mengekalkan momentum selepas kemenangan liga tempoh hari.”
Jurulatih kelahiran Perancis itu juga tidak menafikan rasa kecewa sebahagian penyokong selepas keputusan kurang memberangsangkan kebelakangan ini, namun meminta ruang buat pasukan melalui proses pembinaan semula.
“Sebahagian penyokong kecewa, tetapi tiada apa yang boleh dibina dalam sehari. Kami tidak bermain seperti sebelum ini. Apabila anda mengubah sesuatu, anda perlukan masa," ujarnya.
Beliau menambah bahawa usaha dan komitmen akan menjadi asas kebangkitan Selangor.
“Asas kami belum betul-betul kukuh, tetapi penyokong boleh lihat usaha yang ditunjukkan pemain. Jika anda beri segalanya, walaupun tanpa keputusan, penyokong tetap faham. Kami hormati mereka dan mereka juga perlu menghormati kelab," katanya.
Sementara itu, Clough menyifatkan sokongan luar biasa penyokong Selangor di seluruh ASEAN sebagai pemangkin semangat pemain.
“Penyokong sangat hebat minggu lalu. Mereka sanggup merantau jauh untuk menyokong kami," katanya.
Walaupun peluang mara sudah tertutup, pemain tengah itu menegaskan setiap perlawanan tetap mempunyai nilai serta tanggungjawab besar.
“Kami tidak mahu kalah. Mewakili Selangor bermakna berjuang untuk lencana di dada," katanya.
Clough menegaskan pemain harus membalas sokongan mereka yang melabur masa, tenaga dan wang demi pasukan.
“Kami perlu membalas jasa penyokong. Kami akan terus berjuang, bekerja bersama dan berharap dapat membina momentum untuk baki musim ini," ujarnya. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit : Selangor FC
