SERI MANJUNG – Dua peniaga durian dikompaun selepas didapati menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan dalam Operasi Pematuhan Peniaga Durian yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak di sekitar daerah ini semalam.
Operasi itu dilaksanakan bagi memastikan peniaga buah-buahan bermusim mematuhi peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972.
KPDN Perak dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak lima gerai peniaga durian diperiksa sepanjang operasi tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua peniaga melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan.
“Tindakan kompaun telah dikenakan serta-merta terhadap kedua-dua peniaga di lokasi pemeriksaan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Selain penguatkuasaan, KPDN turut memberi advokasi dan teguran kepada peniaga supaya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Peniaga dinasihatkan supaya mempamerkan tanda harga dengan jelas mengikut gred atau jenis durian, menggunakan alat timbang yang telah ditentusahkan oleh pihak Metrologi serta mengeluarkan resit pembelian lengkap sekiranya diminta pelanggan.
KPDN Perak menegaskan operasi pemantauan dan pemeriksaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras manipulasi harga serta timbangan sekali gus melindungi hak dan kepentingan pengguna.
Orang ramai yang mengesan sebarang amalan perniagaan mencurigakan boleh mengemukakan aduan melalui portal e-Aduan KPDN atau aplikasi Ez ADU. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – KPDN Perak
