SHAH ALAM – Rangkaian makanan segera tempatan, Ahmad’s Fried Chicken kini secara rasmi dijenamakan semula sebagai Ahmad’s HotChicken dengan memperkenalkan identiti baharu, resipi dipertingkat serta pengalaman menikmati ayam goreng yang dibangunkan semula.
Pihak pengurusan berkata, penjenamaan semula itu bukan sekadar pertukaran nama, sebaliknya menandakan evolusi jenama ke arah menawarkan pengalaman ayam goreng pedas yang lebih moden dan berbeza daripada apa yang terdapat di pasaran.
“Kami bukan sekadar tukar logo atau nama. Kami bina semula keseluruhan pengalaman Ahmad’s, daripada produk, resipi, identiti sehinggalah kepada pengalaman pelanggan di outlet. Sebab itu kami hadir sebagai Ahmad’s HotChicken,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara pembaharuan utama yang diperkenalkan ialah sistem 5 Levels of Heat yang membolehkan pelanggan memilih sendiri tahap kepedasan mengikut cita rasa masing-masing.
Pilihan tersebut bermula daripada Scaredy Cat bagi mereka yang tidak gemar makanan pedas, diikuti Lowkey, Mid, Nocap Hot dan Reaper yang menggunakan cili Carolina Reaper, antara cili paling pedas di dunia.
“Tak semua orang makan pedas pada tahap yang sama. Jadi kami mahu pelanggan tentukan sendiri pengalaman mereka. Sama ada langsung tak pedas ataupun benar-benar mencabar, pilihan itu di tangan mereka,” katanya.
Selain itu, Ahmad’s HotChicken turut memperbaharui resipi ayam gorengnya apabila setiap ketul ayam diperap menggunakan resipi khas, disalut dua kali dengan tepung bagi menghasilkan tekstur lebih rangup sebelum digoreng segar bagi memastikan kualiti terbaik.
Melengkapkan pengalaman itu ialah Signature Sauce eksklusif Ahmad’s yang menggabungkan rasa lemak, sedikit masam dan sedikit manis sebagai identiti utama jenama tersebut.
Turut diperkenalkan ialah Signature Mac & Cheese yang menggunakan campuran tiga jenis keju serta dihiasi hirisan beef bacon rangup sebagai antara menu sampingan utama dalam barisan menu baharu.
Dalam perkembangan sama, Ahmad’s HotChicken mendakwa menjadi antara jenama makanan segera pertama di Malaysia yang menggunakan CEO AI bagi membantu mengurus operasi, pemasaran serta membuat analisis dan keputusan strategik dengan lebih pantas.
“Teknologi AI membolehkan kami bergerak lebih pantas, membuat keputusan berasaskan data dan terus menambah baik pengalaman pelanggan. Ia adalah sebahagian daripada hala tuju Ahmad’s untuk membina jenama makanan segera masa hadapan,” katanya.
Ahmad’s HotChicken akan diperkenalkan secara rasmi di semua cawangannya di seluruh negara bermula hari ini.
Jenama itu kekal komited menawarkan makanan segera halal berkualiti pada harga mampu milik sambil terus membawa pembaharuan dalam pengalaman menikmati ayam goreng.
Ketika ini, Ahmad’s HotChicken mempunyai lebih 40 cawangan di seluruh Malaysia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FB Ahmad’s HotChicken
