BATANG KALI – Berdiri hampir 16 jam untuk mentasmik 30 juzuk al-Quran dalam tempoh sehari bukan sesuatu yang mampu dilakukan oleh semua orang.
Namun, bagi Tengku Umayr ‘Akef Tengku Asyraf, segala kepenatan itu berjaya diatasi apabila pelajar Maahad Tahfiz Al-Fateh, Batang Kali itu memperoleh Syahadah Ula, iaitu pengiktirafan tertinggi dalam hafazan al-Quran.
Lebih membanggakan, beliau meraih keputusan Mumtaz dengan markah 97.7 peratus selepas berjaya menyempurnakan tasmik selama 15 jam 42 minit tanpa sebarang pembetulan daripada enam panel penilai.
Mudir Maahad Tahfiz Al-Fateh Batang Kali, Ustaz Ahmad Lutfi berkata, kejayaan tersebut bukan lahir dalam tempoh sehari, sebaliknya hasil perjuangan bertahun-tahun yang penuh pengorbanan.
Menurutnya, ketika memasuki 15 juzuk terakhir, Tengku Umayr sudah berada dalam keadaan separa sedar akibat keletihan, namun bacaan al-Qurannya tetap lancar dan tepat.
“Apabila diumumkan markah 97.7 peratus, ramai melihat angka itu, tetapi kami melihat sebuah perjalanan yang sangat panjang.
“Bacaannya apabila masuk ke 15 juzuk kedua sudah berada dalam mod separa sedar, namun bibirnya tetap melafazkan ayat-ayat suci al-Quran dengan tepat. Lebih mengharukan, sepanjang tasmik itu tiada satu pun pembetulan dibuat oleh enam panel penilai,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, sebelum layak menduduki ujian Syahadah Ula, Tengku Umayr perlu mengulang hafazan sekurang-kurangnya enam kali khatam selepas melengkapkan 30 juzuk al-Quran.
Katanya, kejayaan itu menjadi bukti bahawa kecemerlangan bukan bergantung kepada bakat semata-mata, sebaliknya lahir daripada istiqamah, disiplin, doa ibu bapa serta bimbingan guru.
Tambah beliau, sepanjang 1,260 hari berada di Maahad Tahfiz Al-Fateh, Tengku Umayr juga dikenali sebagai pelajar yang sangat menjaga adab, tidak pernah membantah arahan guru serta sentiasa merendah diri.
“Resipi kejayaan beliau bukan lagi rahsia. Saya melihat pelajar yang benar-benar menjaga adab dan taat kepada guru, insya-Allah akan memperoleh kejayaan,” katanya.
Menurut Ahmad Lutfi, beliau turut mengagumi cara fikir Tengku Umayr apabila pelajar itu pernah mengingatkan rakan-rakannya supaya tidak mengabaikan hafazan al-Quran walaupun sibuk dengan urusan dakwah dan aktiviti lain.
Beliau berkata, kejayaan itu turut didorong oleh sokongan padu daripada guru hafazan, mentor usrah, persekitaran tarbiah di maahad serta ibu bapanya yang sentiasa memberi dorongan.
“Ramai melihat kejayaan pada hari ini, namun hanya Allah mengetahui jumlah sujud, doa, pengorbanan ibu bapa, kesabaran para guru dan mujahadah yang telah dilalui untuk sampai ke tahap ini.
“Semoga Allah memelihara hafazannya, mengangkat darjatnya dengan al-Quran serta menjadikannya pembela agama, pemimpin umat dan penyejuk hati kedua ibu bapanya di dunia dan akhirat,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Maahad Tahfiz Al-Fateh
