TELUK INTAN – Seramai 23 pelajar Kelab Inovasi Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SeMeSTI) mengharumkan nama negara apabila meraih empat pingat emas dalam dua pertandingan inovasi antarabangsa yang berlangsung di Universitas Negeri Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Penyertaan yang berlangsung dari 2 hingga 7 Jun lalu itu menyaksikan kontinjen SeMeSTI menyertai International Invention and Innovation Competition (I3C) 2026 serta Innovation World Cup (IWC) 2026.
Dalam pertandingan I3C 2026, pasukan sekolah itu membawa pulang tiga pingat emas menerusi projek BioSentry, NumNexus dan EcoKindle, selain satu pingat perak menerusi projek PseudoStem.
Kecemerlangan itu diteruskan pada IWC 2026 apabila projek BioSentry merangkul pingat emas, manakala projek NumNexus, EcoKindle dan PseudoStem masing-masing memenangi pingat perak.
Pihak sekolah menerusi satu hantaran di media sosial menzahirkan penghargaan kepada semua pelajar, guru pembimbing dan pihak yang terlibat menjayakan penyertaan tersebut.
“Tahniah dan syabas diucapkan kepada kesemua 23 orang pelajar, guru-guru pembimbing serta semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan penyertaan ini.
“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan dan mengharumkan nama SeMeSTI di peringkat antarabangsa,” menurut hantaran tersebut. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SM Sains Teluk Intan
