KUALA LUMPUR – Ancaman terhadap kesihatan rakyat dan keselamatan data negara perlu diberi perhatian serius susulan isu jerebu serta kebimbangan mengenai penggunaan aplikasi navigasi digital, Waze.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, keselamatan negara tidak seharusnya dilihat dari sudut pertahanan ketenteraan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi kesihatan awam, alam sekitar, privasi dan kedaulatan data.
Menurutnya, jerebu mengancam kesihatan rakyat apabila pencemaran udara meningkat akibat kebakaran hutan dan tanah, pembakaran terbuka serta sumber pencemaran lain.
Katanya, zarah halus seperti PM2.5 boleh memasuki sistem pernafasan dan menjejaskan kesihatan, terutama dalam kalangan kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai penyakit pernafasan atau jantung.
“Jerebu bukan sekadar masalah cuaca. Kesannya turut melangkaui sektor kesihatan apabila aktiviti persekolahan, produktiviti pekerja, pengangkutan, pelancongan dan kegiatan ekonomi boleh terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Malaysia perlu memperkukuh penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka, meningkatkan ketelusan data kualiti udara serta memperhebat kerjasama serantau menerusi ASEAN bagi menangani pencemaran rentas sempadan.
Mengulas isu Waze pula, Mohd Azmi berkata, penggunaan aplikasi navigasi digital menimbulkan persoalan mengenai keselamatan data lokasi, privasi pengguna dan kedaulatan maklumat negara.
Menurutnya, maklumat lokasi, destinasi dan corak perjalanan yang dikumpulkan dalam jumlah besar berpotensi mendedahkan rutin harian pengguna apabila digabungkan dengan data lain.
Katanya, risiko berkenaan perlu dinilai dengan lebih ketat, khususnya bagi penjawat awam, anggota keselamatan dan individu yang mengendalikan urusan sensitif.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa risiko penyalahgunaan data perlu dibezakan daripada dakwaan bahawa maklumat pengguna telah diserahkan kepada pihak tertentu atau digunakan untuk tujuan pengintipan.
“Penilaian sedemikian memerlukan bukti teknikal dan maklumat yang boleh disahkan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat berhak mengetahui jenis data yang dikumpulkan oleh aplikasi digital, pihak yang boleh mengaksesnya, lokasi penyimpanan maklumat serta tempoh data berkenaan disimpan.
Beliau turut menekankan kepentingan audit keselamatan dan penilaian impak perlindungan data terhadap aplikasi yang digunakan agensi kerajaan, terutama perkhidmatan yang memproses maklumat lokasi serta pergerakan.
Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, penggunaan aplikasi tempatan seperti TuJu wajar dipertimbangkan, namun tahap ketepatan navigasi, liputan jalan, kemas kini trafik, kestabilan sistem dan perlindungan data perlu dipastikan bagi membina keyakinan pengguna.
Mengulas langkah yang perlu diambil, beliau menggariskan tiga keutamaan, iaitu memperkukuh tindakan nasional dan serantau bagi menangani pencemaran udara, melaksanakan audit keselamatan aplikasi digital serta memperluas pendidikan keselamatan siber kepada masyarakat.
Katanya, rakyat juga perlu meningkatkan kesedaran dengan mengikuti bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), mengurangkan aktiviti luar ketika pencemaran meningkat serta menyemak kebenaran akses lokasi dan dasar privasi aplikasi yang digunakan.
“Keselamatan negara merangkumi hak rakyat terhadap persekitaran yang sihat, perlindungan maklumat peribadi dan jaminan bahawa teknologi yang digunakan tidak mendedahkan mereka kepada risiko yang tidak perlu.
“Setiap keputusan keselamatan mesti disokong bukti, penjelasan yang jelas dan mekanisme akauntabiliti. Kebimbangan keselamatan tidak wajar diketepikan, tetapi ia juga tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan dakwaan yang belum terbukti,” katanya.
Beliau berkata, isu jerebu dan keselamatan data digital perlu ditangani menerusi pendekatan pencegahan berasaskan bukti, penilaian risiko yang telus serta tindakan bersesuaian bagi melindungi kepentingan rakyat dan negara. – DETIK MALAYSIA
