MADRID – Pengendali Inter Milan, Christian Chivu menyifatkan pasukannya tidak layak tewas 1-2 kepada Real Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara di Santiago Bernabéu, awal pagi tadi.
Inter terpaksa pulang dengan tangan kosong selepas tewas kepada gergasi Sepanyol itu menerusi perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan tampil kompetitif.
Chivu mengakui Inter mengharapkan tiga mata, namun keputusan akhir tidak menggambarkan usaha yang dipamerkan anak buahnya sepanjang perlawanan.
“Kami masih mempunyai tujuh perlawanan dalam kejohanan ini. Sudah tentu kami mahu meraih tiga mata dalam perlawanan ini, namun kami terpaksa pulang dengan kekalahan yang sebenarnya tidak layak kami terima,” katanya seperti dipetik laman rasmi Liga Juara-Juara.
Menurut Chivu, Inter menunjukkan karakter dan keinginan untuk terus berkembang walaupun berdepan salah satu pasukan terbaik Eropah.
“Kami tampil kompetitif, mahu terus berkembang dan ambisi kami jelas sangat tinggi. Kami akan terus berusaha meningkatkan kualiti,” katanya.
Chivu turut enggan terlalu menyalahkan penjaga gol, Josep Martínez, susulan kesilapan yang membawa kepada gol kedua Real Madrid menerusi Federico Valverde.
Sebaliknya, beliau lebih menekankan tindak balas Martínez selepas kesilapan berkenaan, termasuk beberapa aksi menyelamat yang menghalang Real Madrid daripada menambah jaringan.
“Saya suka cara penjaga gol kami bertindak balas selepas bolos gol kedua. Jelas bukan mudah untuk bangkit selepas detik seperti itu dan saya fikir dia benar-benar menjalankan tugasnya dengan baik,” katanya.
Chivu turut berpuas hati dengan persembahan keseluruhan Inter meskipun dua gol yang dijaringkan Real Madrid hadir menerusi detik yang merugikan pasukannya.
“Saya melihat pasukan yang mempunyai karakter dalam perlawanan ini. Saya tahu orang berkata perlawanan boleh ditentukan oleh detik penting dan gol, namun saya gembira dengan persembahan yang ditunjukkan di sini.
“Kini, kami perlu mengingati perkara ini, mengekalkan mentaliti, karakter dan sikap untuk mengatasi segala kesukaran yang ada,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kreit foto – REUTERS/Violeta Santos Moura
