LONDON – Keyakinan penyerang Real Madrid, Kylian Mbappe untuk memenangi Ballon d’Or 2026 mengundang kritikan pedas legenda Perancis, Christophe Dugarry yang menyifatkan kenyataan itu sebagai kebudak-budakan dan menyedihkan.
Mbappe, yang juga kapten skuad kebangsaan Perancis, belum pernah memenangi anugerah berprestij berkenaan, namun percaya peluangnya untuk menjulang trofi bola emas itu tahun ini sangat cerah.
“Saya rasa saya boleh memenanginya tahun ini, jadi saya tidak menolak kemungkinan itu,” katanya kepada France Football.
Pemain berusia 27 tahun itu turut mengakui setiap pemain Real Madrid perlu meletakkan sasaran untuk memenangi Ballon d’Or selepas menyertai kelab gergasi Sepanyol berkenaan.
Antara pemain Real Madrid yang pernah memenangi anugerah tersebut ialah Ronaldo Nazario, Fabio Cannavaro, Cristiano Ronaldo, Luka Modric dan Karim Benzema.
“Saya sentiasa menganggap diri saya pemain terbaik (di dunia), tetapi setiap orang mempunyai pendapat masing-masing. Mungkin orang lain mempunyai pandangan berbeza. Saya rasa ini bukan perbincangan yang perlu kita lakukan,” katanya.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak disenangi Dugarry yang merupakan anggota skuad Perancis ketika menjuarai Piala Dunia 1998.
“Untuk meminta anugerah individu secara terbuka seperti itu, pada saya ia kebudak-budakan dan menyedihkan. Tidak ada gunanya memintanya, lebih-lebih lagi apabila anda ialah kapten pasukan kebangsaan,” katanya.
Dugarry turut menggesa Mbappe supaya lebih banyak bercakap mengenai pasukan berbanding pencapaian individu, termasuk sasaran dan trofi yang mahu dimenangi bersama.
“Bola sepak semakin individualistik dan perkara itu sering membuatkan saya muak. Daripada bercakap mengenai diri sendiri dan anugerah individu, anda sepatutnya bercakap mengenai pasukan, berkongsi kejayaan dan trofi yang belum dimenangi tetapi mahu dijulang bersama,” katanya.
Pemenang Ballon d’Or 2026 dijadual diumumkan di London, England pada Oktober depan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – REUTERS/Juan Barbosa
