KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memandang serius laporan bahawa operasi nadir bumi oleh Lynas Corporation mempunyai kaitan dengan rantaian bekalan yang menyokong industri pertahanan Amerika Syarikat.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata perkembangan tersebut tidak boleh dianggap sebagai aktiviti komersial biasa kerana ia membawa implikasi strategik, etika dan geopolitik yang besar kepada Malaysia.
“Unsur nadir bumi bukan komoditi biasa, sebaliknya bahan kritikal dalam sistem persenjataan canggih termasuk panduan peluru berpandu, radar, pesawat pejuang dan teknologi pengawasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebarang penglibatan pengeluaran berasaskan Malaysia dalam rantaian itu menimbulkan persoalan besar berkaitan tanggungjawab dan kepentingan negara.
Antara perkara yang dibangkitkan ialah Malaysia tidak boleh bersekongkol dalam sebarang bentuk militarisasi, terutama jika bahan diproses digunakan dalam konflik yang melanggar undang-undang antarabangsa.
Selain itu, Mapim menggesa kerajaan memperketat kawalan eksport dengan menyemak semula syarat berkaitan bahan nadir bumi, termasuk aspek pengesahan penggunaan akhir, ketelusan destinasi dan sekatan terhadap penggunaan ketenteraan.
“Malaysia perlu kekal berpegang kepada prinsip keamanan dan keadilan sejagat. Sebarang penyaluran sumber strategik kepada industri ketenteraan asing boleh menjejaskan pendirian berkecuali negara,” jelasnya.
Mapim turut menuntut ketelusan penuh daripada pihak syarikat, termasuk pendedahan pengguna akhir bahan diproses, tahap penglibatan dengan kontraktor pertahanan serta mekanisme pematuhan bagi mengelakkan penyalahgunaan.
Dalam masa sama, satu kerangka dasar nasional yang menyeluruh perlu diwujudkan bagi mengurus mineral strategik agar kepentingan ekonomi tidak mengatasi tanggungjawab etika dan keselamatan negara.
Sehubungan itu, Mapim menggesa kerajaan mengambil tindakan segera termasuk melaksanakan audit terhadap operasi Lynas dan saluran eksportnya.
Kerajaan juga diminta menggantung sementara sebarang bekalan yang berkait dengan penggunaan ketenteraan sehingga siasatan selesai, selain menggubal undang-undang kawalan eksport lebih ketat bagi mineral strategik.
“Parlimen dan masyarakat sivil perlu dilibatkan dalam merangka dasar nasional yang telus dan bertanggungjawab,” katanya.
Menurut Mapim, Malaysia tidak boleh menjadi titik senyap dalam rantaian bekalan ketenteraan global yang berpotensi menyumbang kepada konflik dan penderitaan.
“Aktiviti ekonomi tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab moral. Sumber strategik mesti diurus dengan hikmah, tanggungjawab dan pandangan jauh,” katanya. – DETIK MALAYSIA