PULAU PINANG – Impian Penang FC untuk membawa bekalan selesa ke perlawanan kedua musnah sekelip mata apabila Sabah FC mencuri gol penyamaan dramatik pada masa kecederaan, sekali gus mengikat keputusan 1-1 dalam aksi final pertama Piala Cabaran Malaysia 2025/26 di Stadium Bandaraya, malam tadi.
Perlawanan berlangsung sengit sejak wisel pertama dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam usaha mencari kelebihan awal.
Penang yang beraksi di laman sendiri lebih agresif menerusi gandingan penyerang Tcheche Kipre dan Dylan Wenzel-Halls, namun kekentalan benteng Sabah yang diketuai penjaga gol Damien Lim berjaya mengekang asakan tuan rumah.
Sabah pula tidak berdiam diri apabila beberapa kali mengancam menerusi serangan balas pantas diketuai Ondong Mba, tetapi kedua-dua pasukan buntu untuk memecah kebuntuan pada separuh masa pertama yang berakhir tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua, tempo permainan terus meningkat sebelum Penang akhirnya menemui gol yang dicari pada minit ke-70.
Wenzel-Halls muncul wira sementara tuan rumah apabila berjaya menewaskan penjaga gol Sabah untuk meletakkan Penang di hadapan, sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh penyokong di Stadium Bandaraya.
Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Sabah bangkit menggandakan tekanan pada penghujung permainan.
Penyerang Darren Lok hampir menyamakan kedudukan menerusi beberapa percubaan berbahaya, tetapi penjaga gol Penang, Ramdhan Hamid, tampil cemerlang dengan beberapa aksi menyelamat penting.
Ketika Penang sudah membayangkan kemenangan tipis, Sabah dihadiahkan sepakan penalti pada masa kecederaan selepas kekasaran dalam kotak penalti.
Gabriel Peres tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk memastikan Sabah membawa pulang keputusan seri berharga.
Keputusan itu menyaksikan aksi final kini kembali terbuka menjelang perlawanan kedua di Stadium Likas pada 19 April ini, dengan kedua-dua pasukan masih berpeluang menjulang trofi. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Penang FC