PETALING JAYA – Selangor FC bernasib baik apabila berjaya mengikat Kuching City FC 1-1 menerusi jaringan saat akhir dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2025/26 di Stadium MBPJ, malam tadi.
Dalam perlawanan sengit itu, pelawat terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi penyerang, Ronald Ngah Wanja yang tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-42 selepas dijatuhkan dalam kotak penalti.
Terdahulu, Selangor yang turun dengan misi memburu kelebihan awal, hampir membuka tirai jaringan menerusi percubaan penyerang import, Chrigor Moraes, namun percubaannya sekadar melewati gawang.
Bersambung babak kedua, skuad Gergasi Merah meningkatkan asakan dengan pemain sayap lincah, Faisal Halim, kerap mencemaskan benteng lawan.
Namun, aksi cemerlang penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli, berjaya menafikan beberapa peluang terbaik Selangor.
Ketika pelawat dilihat hampir membawa pulang kelebihan berharga, Chrigor muncul wira apabila meledak gol penyamaan pada penghujung perlawanan sekali gus menghidupkan peluang Selangor.
Keputusan 1-1 itu menyaksikan kedua-dua pasukan masih memiliki peluang seimbang menjelang aksi timbal balik di Stadium Negeri Sarawak, Kuching pada 18 April ini bagi merebut tiket ke final. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SFC