KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengecam keras kenyataan berunsur provokatif dan menghina oleh kepimpinan Amerika Syarikat terhadap Iran yang disifatkan semakin melampau serta berbahaya.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kenyataan “Iran’s fate is in our hands” yang dikaitkan dengan Setiausaha Pertahanan AS jelas mencerminkan sikap angkuh dan cubaan menguasai negara lain.
Katanya, keadaan bertambah buruk apabila bekas Presiden AS, Donald Trump menggunakan bahasa kesat dengan melabel Iran sebagai “crazy bastards” sambil mengugut kemusnahan infrastruktur negara itu.
“Ini bukan diplomasi, sebaliknya intimidasi paling melulu,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut beliau, tindakan pemimpin dunia yang mengugut kehancuran serta menggunakan bahasa menghina terhadap sesebuah negara menunjukkan kegagalan besar dari segi tanggungjawab moral dan politik.
“Ia menandakan keruntuhan etika diplomatik, undang-undang antarabangsa serta nilai kemanusiaan asas,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan bahasa kasar itu bukan perkara kecil kerana ia menggambarkan proses ‘dehumanisasi’ terhadap sesebuah negara dan boleh menjadi pencetus kepada konflik lebih besar.
“Sejarah membuktikan peperangan sering bermula dengan kata-kata yang merendahkan maruah manusia,” katanya.
Dalam masa sama, katanya, kenyataan berkenaan jelas melanggar prinsip Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk Piagam PBB dan konsep kedaulatan negara.
“Ancaman terhadap infrastruktur awam bukan kepimpinan, tetapi satu preseden berbahaya,” katanya.
Sehubungan itu, Mapim mempersoalkan sikap dunia yang dilihat membisu terhadap kenyataan berkenaan.
“Di mana suara pembela undang-undang antarabangsa? Di mana pejuang hak asasi manusia?
“Diam bukan berkecuali, tetapi bersubahat,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan tiada mana-mana negara berhak menentukan nasib negara lain serta menuntut kedaulatan setiap negara dihormati tanpa pengecualian.
Dalam pada itu, pihaknya menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bertindak tegas, manakala Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu bersidang segera bagi membincangkan isu berkenaan.
“Apabila keangkuhan menggantikan diplomasi, konflik menjadi tidak dapat dielakkan. Apabila penghinaan menggantikan rasa hormat, keamanan menjadi mustahil.
“Maruah manusia bukan bahan rundingan. Kedaulatan bukan pilihan,” katanya. – DETIK MALAYSIA