KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyuarakan kebimbangan serius terhadap konflik yang semakin memuncak melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran yang kini memasuki fasa lebih berbahaya.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan, konflik yang digambarkan menerusi operasi “Epic Fury” dan tindak balas “True Promise 4” merupakan “perang pilihan”, bukannya satu keperluan mendesak.
Menurut beliau, eskalasi berterusan berisiko menggugat kestabilan Asia Barat secara keseluruhan, selain mengancam keselamatan tenaga global serta mendedahkan negara-negara Islam kepada kesan langsung dan tidak langsung.
“Ini bukan konflik biasa. Ia mampu mencetuskan ketidakstabilan serantau dan memberi impak besar kepada ekonomi dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mapim menegaskan bahawa pendekatan berkecuali dalam situasi ini tidak lagi praktikal mahupun bertanggungjawab.
Antara kesan yang telah mula dirasai termasuk gangguan keselamatan serantau, ancaman terhadap laluan tenaga utama serta ketidaktentuan ekonomi global.
“Tiada negara yang benar-benar terlindung daripada kesan konflik ini,” jelas beliau.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar semua tindakan ketenteraan yang boleh memperluaskan konflik dihentikan segera.
“Tiada mana-mana negara wajar menjadi mangsa peperangan yang didorong kepentingan strategik pihak luar,” tegasnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI