KUALA LUMPUR – Pasukan Machan FC sah menarik diri daripada saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2025/26 selepas mengharungi 22 perlawanan, sekali gus mencetuskan impak besar terhadap perjalanan liga.
Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Operasi Amateur Football League (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad yang memaklumkan pihaknya telah menerima notis rasmi daripada kelab berkenaan.
Menurutnya, Machan FC menghantar surat rasmi kepada AFL pada 3 April lalu bagi mengesahkan keputusan tersebut.
“Kelab telah secara rasmi menarik diri daripada Liga A1 Semi-Pro 2025/26 menerusi surat yang dihantar kepada AFL pada 3 April,” katanya.
Tambah beliau, pihak liga telah berusaha mengadakan perbincangan dan membantu menyelesaikan masalah dalaman yang dihadapi pasukan itu, namun pengurusan Machan FC tetap dengan keputusan mereka.
“Kami cuba berbincang dan membantu Machan FC mengatasi isu yang dihadapi, namun pihak pengurusan kekal dengan keputusan tersebut,” ujarnya.
Susulan penarikan diri itu, AFL memutuskan semua keputusan perlawanan melibatkan Machan FC musim ini dibatalkan serta-merta dan dianggap tidak sah.
Ini bermakna semua mata, jaringan dan keputusan terdahulu melibatkan pasukan itu tidak lagi diambil kira dalam kedudukan liga.
Walaupun berdepan gangguan, AFL menegaskan saingan Liga A1 Semi-Pro 2025/26 akan diteruskan seperti dijadualkan dengan semua baki perlawanan melibatkan Machan FC digugurkan.
Dalam perkembangan sama, Machan FC turut dikenakan penggantungan selama satu musim daripada semua pertandingan AFL, sekali gus tidak dibenarkan beraksi bagi musim 2026/27.
Kelab itu juga didenda sebanyak RM20,000 dan kes berkenaan akan dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia untuk tindakan lanjut.
Penarikan diri di pertengahan musim ini dilihat memberi kesan besar terhadap integriti dan keseimbangan saingan liga yang sedang berlangsung. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Machan FC