KUALA LUMPUR – Beberapa laluan utama di ibu kota akan ditutup dan dilencongkan bagi memberi laluan kepada acara Larian Malaysia Sarong Music Run 2025 (MSMR) Road to Visit Malaysia 2026 yang berlangsung sempena sambutan Hari Malaysia, esok.
Program anjuran di hadapan Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Jalan Ampang itu akan bermula jam 3 petang dan dijangka menghimpunkan lebih 15,000 peserta bagi dua kategori utama, iaitu 5 kilometer Malaysia Speed Run dan 5 kilometer Fun Run.
Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, penutupan jalan bermula jam 2.30 petang sebelum dibuka semula secara berperingkat dan dijangka selesai sepenuhnya jam 8 malam.
"Antara jalan terlibat ialah Jalan P. Ramlee, Jalan Ampang, Jalan Pinang, Jalan Kia Peng, Jalan Stonor, Jalan Conlay, Jalan Raja Chulan, Jalan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Ampang (dari Jalan Tun Razak menghala ke KLCC serta dari Lembaga Getah Malaysia menghala ke Jalan Tun Razak).
"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak meletakkan kenderaan di kawasan larangan bagi mengelakkan gangguan lalu lintas," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Bilik Gerakan JSPT KL di 03-2071 9999, melayari laman Facebook JSPT KL atau hadir ke balai polis berdekatan. - DETIK MALAYSIA