HANOI – Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan kebangkitan bergaya apabila menewaskan kelab Vietnam, Công An Hà Nội FC (CAHN) 3-1 dalam aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (Shopee Cup) 2026/27 di Stadium Hàng Đẫy, Hanoi, malam tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus selepas mengutip enam mata daripada dua perlawanan.
Bagaimanapun, JDT dikejutkan dengan jaringan awal tuan rumah apabila pemain pertahanan, Nene tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ketiga sekali gus memberikan kelebihan 1-0 kepada CAHN.
Tersentak dengan jaringan itu, ketua jurulatih JDT, Xisco Muñoz melakukan percaturan apabila membuat tiga pertukaran pemain serentak pada minit ke-28 bagi mengubah rentak permainan pasukannya.
Penyerang Shahab Zahedi antara pemain yang dikeluarkan sebelum digantikan dengan Jairo Da Silva.
Percaturan tersebut membuahkan hasil apabila JDT bangkit menguasai permainan pada babak kedua sebelum Oscar Arribas menyamakan kedudukan pada minit ke-51.
JDT kemudian berada di depan menerusi jaringan Marcos Guilherme pada minit ke-60 selepas menyudahkan hantaran tepat Jairo Da Silva untuk meletakkan pelawat mendahului 2-1.
Ketika CAHN semakin terdesak mencari gol penyamaan, JDT terus menghukum tuan rumah menerusi serangan balas pantas yang disudahkan Arribas pada minit ke-86.
Jaringan kedua pemain gantian itu memastikan JDT selesa mendahului 3-1.
CAHN berpeluang merapatkan jurang pada minit terakhir menerusi Nguyễn Quang Hải, namun jaringan tersebut dibatalkan kerana ofsaid.
Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan JDT mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam kempen peringkat kumpulan, manakala CAHN mengalami kekalahan pertama.
JDT dijadual menentang wakil Myanmar, Shan United di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Disember depan, manakala CAHN akan menerima kunjungan kelab Kemboja, Preah Khan Reach Svay Rieng pada tarikh sama. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST
