JOHOR BAHRU – Pertembungan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea FC di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini bukan sekadar aksi persahabatan pramusim.
Pertemuan itu turut mendapat perhatian media antarabangsa, khususnya di England apabila beberapa portal sukan dan akhbar Britain mula mengangkat aksi tersebut sebagai antara ujian terakhir Chelsea sebelum menghadapi musim baharu.
Chelsea sendiri mengesahkan JDT sebagai lawan terakhir dalam siri jelajah pramusim mereka dengan aksi dijadualkan berlangsung hari ini, 9 Ogos, pada pukul 8 malam waktu Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim.
Pertemuan itu pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 11 Ogos sebelum kedua-dua kelab bersetuju meminda tarikh kepada 9 Ogos bagi membantu persiapan menghadapi musim 2026/27.
Media Britain turut memberi perhatian terhadap JDT selepas kelab dari selatan tanah air itu muncul sebagai lawan Chelsea dalam aksi terakhir jelajah pramusim mereka di Asia.
Portal The Standard sebelum ini menyifatkan perlawanan berkenaan sebagai aksi bersejarah buat pengendali baharu Chelsea, Xabi Alonso, yang memulakan tugasnya bersama kelab London itu pada musim ini.
Laporan berkenaan turut menekankan bahawa Chelsea akan berdepan juara Malaysia itu di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sebuah venue yang mampu menampung sehingga 40,000 penonton.
Lebih menarik, media Britain turut mengaitkan pertemuan itu dengan satu nama yang cukup dikenali peminat Chelsea, iaitu Luis García.
The Sun memberi tumpuan kepada Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis García, yang pernah menjadi pemain Liverpool dan terkenal dengan jaringan kontroversi ketika membantu The Reds menyingkirkan Chelsea pada separuh akhir Liga Juara-Juara 2004/05.
Gol García ketika itu sering dirujuk sebagai ‘ghost goal’ selepas percubaannya dikatakan belum melepasi garisan gol sebelum keputusan pengadil memihak kepada Liverpool.
Menurut laporan tersebut, García kini mempunyai peranan penting bersama JDT selepas menyertai kelab itu dan membantu skuad Harimau Selatan meneruskan dominasi di pentas domestik.
Angle tersebut menjadikan pertemuan JDT-Chelsea mempunyai nilai cerita yang lebih besar bagi media Britain, selain sekadar perlawanan pramusim.
Dalam pada itu, portal bola sepak antarabangsa VAVEL turut melihat pertemuan dengan JDT sebagai antara ujian paling mencabar Chelsea sepanjang pramusim mereka.
Laporan berkenaan menyebut Chelsea bakal berdepan JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada 9 Ogos sebagai sebahagian daripada siri persiapan mereka menjelang musim baharu.
Bagi Chelsea, aksi di Johor itu hadir selepas mereka menentang beberapa lawan berprofil tinggi sepanjang jelajah pramusim.
Skuad kendalian Alonso sebelum ini berdepan Western Sydney Wanderers dan Tottenham Hotspur di Australia, diikuti Juventus di Hong Kong sebelum bertemu AC Milan di Jakarta.
Chelsea kemudian menamatkan aksi menentang AC Milan dengan kemenangan 3-0 di Jakarta kelmarin, hasil dua gol João Pedro serta satu jaringan Moisés Caicedo.
Kemenangan tersebut tentunya memberi suntikan keyakinan kepada The Blues sebelum mereka bertandang ke Johor untuk menghadapi JDT.
Pertembungan dengan JDT juga menjadi peluang buat Alonso menguji barisan pemainnya dalam suasana berbeza sebelum Chelsea kembali ke England untuk melengkapkan persiapan terakhir menghadapi musim 2026/27.
Chelsea turut membawa beberapa nama besar dalam skuad jelajah mereka termasuk Cole Palmer, João Pedro, Estevão Willian, Liam Delap, Jamie Gittens, Wesley Fofana dan Romeo Lavia.
Bagi JDT pula, perlawanan ini menjadi peluang untuk mengukur kemampuan mereka berdepan salah satu kelab paling dikenali dari England.
Kelab itu sebelum ini mendominasi saingan domestik Malaysia dan menampilkan rekod konsisten di pentas Asia.
Pertemuan dengan Chelsea sekali gus menjadi pentas untuk pemain JDT merasai sendiri tahap permainan menentang kelab yang beraksi dalam salah satu liga paling kompetitif di dunia.
Lebih istimewa, ini merupakan pertemuan pertama antara JDT dan Chelsea.
Chelsea turut mengesahkan aksi di Stadium Sultan Ibrahim sebagai sebahagian daripada jadual rasmi pramusim mereka, dengan sepak mula pada pukul 8 malam waktu Malaysia.
Pertembungan itu juga menjadi kali pertama Chelsea beraksi di Malaysia sejak 2013, selain kunjungan kali ini membawa mereka ke luar Kuala Lumpur untuk beraksi di Stadium Sultan Ibrahim.
Tidak hairanlah aksi tersebut mula mendapat perhatian lebih meluas di luar Malaysia apabila media antarabangsa melihatnya sebagai perlawanan unik yang mempertemukan juara Malaysia dengan kelab elit EPL.
Malah, beberapa platform antarabangsa turut menyediakan liputan dan maklumat siaran bagi perlawanan JDT-Chelsea, menunjukkan minat terhadap pertemuan tersebut tidak terhad kepada peminat bola sepak tempatan.
Kini, perhatian terarah kepada Stadium Sultan Ibrahim.
JDT mempunyai peluang mencipta satu lagi detik bersejarah di laman sendiri, manakala Chelsea mahu menutup jelajah pramusim mereka dengan keputusan positif sebelum memberi tumpuan sepenuhnya kepada musim baharu.
Apa yang pasti, perlawanan malam ini bukan sekadar tentang keputusan menang atau kalah.
Ia adalah peluang untuk JDT menunjukkan bahawa kelab dari Malaysia mampu menjadi tumpuan apabila berdepan nama besar dari pentas bola sepak England.
Dan bagi Chelsea pula, ‘Harimau Selatan’ bakal menjadi ujian terakhir sebelum tirai musim baharu dibuka. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Getty
