SHAH ALAM – Pusat Akuatik Darul Ehsan di sini kini dikenali sebagai Akuatik Selangor selepas melalui proses penjenamaan semula dan penaiktarafan sebagai persiapan menghadapi penganjuran SUKMA dan Para SUKMA 2026.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau mengiringi DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang berkenan menyempurnakan Majlis Penjenamaan Semula Pusat Akuatik Darul Ehsan di Shah Alam.
Menurut beliau, penaiktarafan pusat akuatik berkenaan merupakan sebahagian daripada persiapan Selangor sebagai tuan rumah SUKMA dan Para SUKMA 2026.
Katanya, kemudahan yang disediakan kini lebih moden, selamat dan lengkap bagi memenuhi piawaian kejohanan peringkat kebangsaan.
“Akuatik Selangor kini bersedia menjadi lokasi acara akuatik SUKMA dan Para SUKMA 2026.
“Pertandingan polo air bakal membuka tirai pada 12 Ogos ini, sebelum pembukaan rasmi SUKMA pada 15 Ogos,” katanya.
Tambah Amirudin, Akuatik Selangor bukan sekadar venue pertandingan, malah bakal menjadi legasi sukan negeri dalam usaha membudayakan gaya hidup aktif, mencungkil bakat baharu serta melahirkan generasi atlet yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Darul Ehsan Facilities Management Sdn. Bhd. (DEFM), EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, TETO Engineering, Khairi Consult, seluruh agensi Kerajaan Negeri serta semua pihak yang menjayakan proses penaiktarafan tersebut.
“Selangor kini bersedia menyambut para atlet dari seluruh negara. Ayuh bersama-sama kita semarakkan semangat SUKMA 2026,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FB Amirudin Shari
