BANGKOK – Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan menyatakan sokongan penuh terhadap Boonchai Lorpipat dari Thailand untuk menerajui Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) pada masa akan datang.
Perkara itu dinyatakan dalam perbincangan bersama Datuk Abdul Halim Kader (AHK) di Bangkok, semalam, berhubung hala tuju kepimpinan ISTAF menjelang Kongres ISTAF yang dijadualkan berlangsung Disember ini.
Pertemuan tersebut diadakan di luar kejohanan Piala Raja Thai Ke-39, Kejohanan Sepaktakraw Dunia ISTAF 2026 yang sedang berlangsung di Bangkok.
Dalam perbincangan itu, Sumali turut menyatakan harapan agar AHK meneruskan khidmat sebagai Setiausaha Agung ISTAF, selain kekal sebagai Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).
Menurutnya, pengalaman kepimpinan AHK penting bagi memastikan kestabilan dan kesinambungan sukan itu ketika memasuki fasa baharu pembangunan di peringkat global.
Dalam pada itu, AHK berharap Sumali bersedia memikul tanggungjawab lebih besar di peringkat antarabangsa dengan mengambil peranan sebagai Timbalan Presiden ISTAF bersama Fariq Abdul Halim dari Singapura.
Pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra itu turut menyaksikan kedua-dua tokoh berkenaan berjabat tangan sebagai simbol kerjasama dan solidariti dalam kalangan keluarga sepaktakraw antarabangsa.
Perbincangan tersebut dilihat sebagai langkah penting ke arah membina konsensus serta memastikan proses peralihan kepimpinan ISTAF berjalan lancar menjelang Kongres Disember ini.
Peralihan kepimpinan itu susulan pemergian Presiden ISTAF yang lama berkhidmat, mendiang Mejar Jeneral Dr Charouck Arirachakaran. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Asian Sepaktakraw Federation – ASTAF
