SHAH ALAM – Peruntukan kerajaan yang pada hakikatnya merupakan wang rakyat perlu diagihkan secara telus, profesional dan berdasarkan keperluan, bukan bergantung kepada hubungan politik.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, mekanisme pengagihan peruntukan perlu membezakan dengan jelas fungsi wakil rakyat dan agensi pelaksana kerajaan.
“Wakil rakyat dipilih untuk membawa suara rakyat, mengenal pasti masalah kawasan, memperjuangkan dasar, menyemak tindakan kerajaan dan memastikan agensi kerajaan menjalankan tanggungjawabnya.
“Wakil rakyat sewajarnya menjadi jambatan antara rakyat dengan sistem kerajaan, bukan bertindak sebagai pusat tunggal yang menentukan siapa mendapat bantuan dan siapa tidak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, peruntukan pembangunan, kebajikan, infrastruktur kecil, bantuan kecemasan, pendidikan, ekonomi komuniti dan program sosial sewajarnya disalurkan melalui agensi kerajaan yang mempunyai mandat, prosedur kewangan, sistem audit dan pegawai profesional.
Katanya, model yang lebih baik ialah rakyat menyampaikan masalah kepada wakil rakyat untuk pengesanan dan advokasi sebelum dibawa kepada agensi bertanggungjawab bagi tujuan peruntukan dan pelaksanaan.
“Wakil rakyat tetap mempunyai peranan yang sangat penting. Mereka turun ke lapangan, menerima aduan, mengenal pasti keperluan, membawa kes kepada agensi, mendesak penyelesaian dan memantau keberkesanan pelaksanaan.
“Tetapi wang awam tidak sewajarnya menjadi instrumen patronage politik,” katanya.
Mohd Azmi berkata, apabila terlalu banyak peruntukan diletakkan di bawah budi bicara individu politik, beberapa risiko boleh berlaku termasuk bantuan dilihat sebagai pemberian peribadi wakil rakyat, penerima dipilih secara tidak seragam, pertindihan program serta proses audit menjadi lebih sukar.
“Rakyat tidak perlu berterima kasih kepada ahli politik kerana menerima hak pembangunan mereka.
“Jalan, longkang, bantuan kemiskinan, kemudahan sekolah, perumahan, kebajikan warga emas, bantuan OKU, peluang ekonomi dan kemudahan komuniti adalah sebahagian daripada tanggungjawab negara kepada rakyat berdasarkan dasar dan kelayakan,” katanya.
Beliau berkata, wakil rakyat pula perlu mempunyai kedudukan yang kuat sebagai advokat, pemudah cara dan pemantau.
“Jika sebuah kampung mempunyai masalah bekalan air, tugas wakil rakyat ialah memastikan agensi air bertindak.
“Jika keluarga miskin tercicir daripada bantuan, wakil rakyat perlu membawa kes tersebut kepada agensi kebajikan dan memastikan sistem diperbetulkan.
“Jika projek pembangunan terbengkalai, wakil rakyat mesti menuntut penjelasan dan tindakan,” katanya.
Menurutnya, pendekatan itu boleh membina prinsip pentadbiran yang mudah difahami iaitu peruntukan milik rakyat, agensi mengurus dan melaksanakan, manakala wakil rakyat menghubungkan, memperjuangkan serta memantau.
Katanya, pendekatan berkenaan juga boleh menjadi asas kepada reformasi lebih besar daripada politik pemberian kepada politik penyelesaian masalah.
“Ukuran prestasi seorang wakil rakyat tidak lagi berapa banyak cek yang diserahkannya atau berapa banyak bantuan yang diumumkannya.
“Ukurannya ialah berapa banyak masalah rakyat yang berjaya diselesaikan, berapa pantas agensi digerakkan, berapa banyak dasar diperbaiki dan sejauh mana kawasan yang diwakilinya berkembang secara adil,” katanya.
Mohd Azmi berkata, gagasan tersebut boleh dirumuskan melalui slogan ‘Hak Rakyat, Bukan Ihsan Politik’. – DETIK MALAYSIA
