SHAH ALAM – Peruntukan pembangunan di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu dilihat sebagai hak rakyat dan bukan pemberian peribadi seseorang Menteri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau parti politik.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, peruntukan kerajaan merupakan wang awam yang datang daripada hasil negara, cukai, sumber ekonomi serta amanah kewangan yang diuruskan kerajaan bagi pihak rakyat.
Menurut beliau, sistem sedia ada perlu direformasi supaya penyaluran peruntukan pembangunan dibuat secara adil, telus dan bertanggungjawab berdasarkan keperluan, kelayakan serta keutamaan pembangunan, bukannya hubungan politik.
“Wang rakyat mesti kembali kepada rakyat melalui sistem yang adil, telus dan bertanggungjawab.
“Wakil rakyat tidak seharusnya berubah menjadi ‘agensi mini’ yang mengendalikan hampir semua permohonan bantuan dan pembangunan di kawasannya,” katanya dalam kerangka Reformasi Peruntukan Kawasan Parlimen dan DUN bertajuk ‘Hak Rakyat, Bukan Ihsan Politik’.
Beliau berkata, budaya politik yang berkembang sekian lama menyebabkan sebahagian rakyat melihat wakil rakyat sebagai tempat mendapatkan hampir segala bentuk bantuan termasuk masalah jalan, longkang, bantuan persekolahan, kerusi roda, bumbung rumah, bantuan kecemasan, kemudahan kampung, program belia dan dewan komuniti.
Katanya, sebahagian besar perkara berkenaan sebenarnya berada di bawah bidang kuasa kementerian, jabatan, pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi kebajikan atau institusi kerajaan tertentu.
“Keadaan ini akhirnya mewujudkan persepsi bahawa seseorang rakyat perlu melalui ahli politik untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan.
“Ini perlu diperbetulkan. Negara mesti membina sistem yang membolehkan rakyat berurusan dengan institusi kerajaan secara terus, cekap dan bermaruah,” katanya.
Mohd Azmi berkata, tujuh prinsip utama perlu menjadi asas reformasi termasuk memastikan peruntukan awam adalah amanah rakyat, hak rakyat tidak bergantung kepada afiliasi politik dan agensi kerajaan kembali menjalankan fungsi sebenar.
Selain itu, katanya, wakil rakyat perlu berperanan sebagai jambatan rakyat, manakala keputusan peruntukan dibuat berdasarkan data serta setiap peruntukan boleh dijejaki dan diaudit.
Menurutnya, model baharu yang dicadangkan membabitkan rakyat mengemukakan masalah kepada wakil rakyat atau pusat khidmat sebelum pengesanan dan pengesahan dibuat, seterusnya dirujuk kepada agensi bertanggungjawab untuk penilaian teknikal, kelulusan, pelaksanaan, pemantauan dan laporan awam.
“Dalam model ini, wakil rakyat tidak kehilangan peranan. Sebaliknya peranan mereka menjadi lebih strategik dan berwibawa.
“Mereka tidak lagi dibebankan dengan terlalu banyak urusan pentadbiran mikro yang sebenarnya merupakan tanggungjawab jabatan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, lima fungsi utama wakil rakyat ialah mendengar, mengenal pasti, menghubungkan, mendesak dan memantau bagi memastikan masalah rakyat dapat diselesaikan dengan lebih berkesan.
Pada masa sama, agensi kerajaan perlu bertanggungjawab menerima permohonan, menilai kelayakan, menjalankan pemeriksaan teknikal, menentukan keutamaan, mengurus peruntukan, melaksanakan projek, memantau kontraktor, mengesahkan penyempurnaan, menyediakan laporan kewangan serta bertanggungjawab terhadap audit.
Mohd Azmi turut mencadangkan supaya Indeks Keperluan Pembangunan Kawasan diwujudkan bagi menentukan agihan peruntukan secara lebih adil.
Antara indikator yang boleh digunakan termasuk jumlah penduduk, keluasan kawasan, kadar kemiskinan, pendapatan isi rumah, keadaan infrastruktur, akses kesihatan dan pendidikan, keadaan perumahan, kadar pengangguran, bilangan warga emas, komuniti orang kurang upaya (OKU), masyarakat luar bandar, keterpencilan geografi, tahap pembangunan ekonomi serta risiko banjir dan bencana.
“Kawasan yang mempunyai keperluan lebih besar harus menerima peruntukan yang bersesuaian.
“Ini membawa kepada prinsip peruntukan berdasarkan keperluan, bukan pengaruh politik,” katanya.
Dalam pada itu, MAPIM mencadangkan supaya tiada diskriminasi peruntukan pembangunan berdasarkan parti yang memenangi sesuatu kawasan.
Mohd Azmi berkata, pembangunan negara tidak sepatutnya dibezakan berdasarkan warna politik kerana rakyat mempunyai hak sama terhadap pembangunan dan perkhidmatan kerajaan.
“Seorang kanak-kanak yang memerlukan sekolah tidak mempunyai parti.
“Sebuah kampung yang memerlukan bekalan air tidak mempunyai ideologi.
“Sebuah keluarga miskin tidak boleh dinafikan bantuan kerana kecenderungan politik,” katanya.
Beliau turut mencadangkan setiap Parlimen dan DUN mempunyai Dashboard Peruntukan Kawasan yang boleh diakses rakyat bagi memaparkan jumlah peruntukan tahunan, senarai dan nilai projek, agensi pelaksana, lokasi, tarikh kelulusan, tarikh mula dan siap, status pelaksanaan, peratus kemajuan, kontraktor atau pelaksana serta status pembayaran.
“Rakyat tidak sepatutnya perlu menunggu sidang media atau poster politik untuk mengetahui projek yang menggunakan wang mereka,” katanya.
Selain itu, MAPIM mencadangkan penubuhan Portal Khidmat Rakyat sebagai sistem satu pintu aduan, dengan setiap aduan diberikan nombor rujukan dan boleh dijejaki daripada peringkat diterima, dinilai, dirujuk, tindakan sehingga selesai.
Wakil rakyat dan pusat khidmat pula boleh melihat status kes serta melakukan intervensi sekiranya berlaku kelewatan.
MAPIM turut mencadangkan setiap kategori aduan mempunyai piagam masa penyelesaian, termasuk aduan kecemasan dalam tempoh 24 jam dan infrastruktur kecil antara tujuh hingga 30 hari.
Dalam cadangan lain, sebuah Majlis Pembangunan Kawasan Parlimen boleh diwujudkan bagi menentukan keutamaan pembangunan berdasarkan data, konsultasi masyarakat dan keperluan sebenar.
MAPIM turut mencadangkan pendekatan Belanjawan Partisipatif yang memberi ruang kepada penduduk mencadangkan dan menentukan keutamaan projek pembangunan komuniti.
Mohd Azmi berkata, budaya memaparkan projek kerajaan seolah-olah pemberian peribadi ahli politik juga perlu dihentikan.
Katanya, penggunaan wang awam sepatutnya mempunyai identiti kerajaan dan agensi pelaksana yang jelas, manakala istilah seperti “Sumbangan YB” perlu dinilai semula jika sumber sebenar datang daripada peruntukan kerajaan.
“Bahasa yang lebih tepat ialah ‘Peruntukan Kerajaan untuk Rakyat’.
“Ini penting untuk membina literasi demokrasi,” katanya.
Beliau berkata, pusat khidmat wakil rakyat juga perlu berubah daripada pusat pengagihan bantuan kepada Pusat Penyelesaian Masalah Rakyat, dengan unit khusus meliputi aduan dan penyelesaian, kebajikan, infrastruktur, ekonomi dan pekerjaan, pendidikan, data kawasan, hubungan agensi serta pemantauan projek.
Menurutnya, prestasi wakil rakyat pula tidak sepatutnya diukur berdasarkan jumlah cek disampaikan atau majlis penyerahan bantuan, sebaliknya berdasarkan kadar penyelesaian aduan, masa purata penyelesaian, masalah infrastruktur yang diselesaikan, keberkesanan intervensi dengan agensi, prestasi dalam Parlimen atau DUN, penglibatan masyarakat serta peningkatan indikator sosioekonomi kawasan.
Dalam aspek integriti, MAPIM mencadangkan semua peruntukan pembangunan kawasan tertakluk kepada audit kewangan, prestasi, impak, integriti dan nilai untuk wang.
Pada masa sama, garis panduan konflik kepentingan perlu diwujudkan bagi menghalang wakil rakyat daripada mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak projek yang dicadangkan atau dipantau mereka.
Mohd Azmi berkata, data pembangunan kawasan juga perlu dibuka kepada rakyat, media, universiti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penyelidik bagi membolehkan analisis dibuat terhadap jumlah peruntukan, perbelanjaan, projek yang siap atau lewat serta impaknya terhadap kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, reformasi berkenaan bertujuan mengubah budaya politik daripada politik pemberian kepada politik penyelesaian.
“Kita mahu bergerak daripada ‘Saya beri bantuan kepada rakyat’ kepada ‘Saya memastikan hak rakyat dilaksanakan’.
“Daripada ‘Ini peruntukan saya’ kepada ‘Ini wang rakyat yang diurus oleh kerajaan’,” katanya.
Mengulas cadangan pelaksanaan, beliau berkata reformasi boleh dimulakan secara berperingkat menerusi lima fasa iaitu reformasi dasar, pendigitalan, projek rintis, audit dan penilaian serta pelaksanaan nasional.
Katanya, matlamat akhir reformasi itu bukan untuk melemahkan wakil rakyat, sebaliknya mengangkat kedudukan mereka daripada pengurus bantuan kepada pemimpin masyarakat dan pembela kepentingan rakyat.
“Tenaga mereka perlu digunakan untuk isu yang lebih besar seperti kemiskinan, peluang pekerjaan, pendidikan, kesihatan, perumahan, infrastruktur, ekonomi tempatan, alam sekitar, keselamatan sosial dan masa depan generasi muda,” katanya.
Dalam deklarasinya, MAPIM mengusulkan supaya Malaysia bergerak ke arah sistem pengurusan peruntukan kawasan yang lebih telus, profesional, adil dan berasaskan hak rakyat.
“Peruntukan adalah wang rakyat.
“Agensi kerajaan bertanggungjawab melaksanakannya.
“Wakil rakyat bertanggungjawab memperjuangkan dan memantaunya.
“Rakyat berhak mengetahui dan menilainya,” katanya.
Mohd Azmi berkata, budaya yang menyebabkan wang kerajaan kelihatan seperti wang ahli politik serta persepsi rakyat bahawa mereka terhutang budi untuk mendapatkan sesuatu yang sebenarnya hak sebagai warganegara perlu dihentikan.
“Wakil rakyat perlu kembali kepada kedudukan yang lebih tinggi dan lebih bermakna: jambatan rakyat.
“Mereka mendengar suara rakyat, membawa suara itu kepada kerajaan, mendesak agensi bertindak, memantau pelaksanaan dan mempertanggungjawabkan kegagalan.
“Malaysia memerlukan budaya politik yang beralih daripada patronage kepada perkhidmatan, daripada budi bicara kepada sistem, daripada pemberian kepada hak dan daripada politik wang kepada politik penyelesaian.
“Kerana prinsip akhirnya sangat mudah: Hak Rakyat, Bukan Ihsan Politik. Wang Rakyat Kembali Kepada Rakyat. Wakil Rakyat Jambatan Rakyat, Bukan Penentu Hak,” katanya. – DETIK MALAYSIA
