JOHOR BAHRU – Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim F.C. (JDT) dikenakan denda sebanyak USD7,000 (RM33,000) oleh Asian Football Confederation susulan kes salah laku pasukan dalam aksi suku akhir AFC Champions League Elite 2025/26 menentang Al Ahli Saudi, 17 April lalu.
Berdasarkan laporan disiplin rasmi AFC, tujuh pemain JDT telah dikenakan kad oleh pengadil dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah.
Situasi itu diklasifikasikan di bawah Artikel 53 Kod Tatatertib dan Etika AFC berkaitan salah laku pasukan, sekali gus mencetuskan tindakan disiplin terhadap kelab gergasi Selatan tanah air itu.
Menurut AFC, jumlah kad yang terkumpul telah melangkaui had ditetapkan, menyebabkan hukuman kewangan dikenakan selaras dengan Artikel 3.1 Pekeliling Tatatertib kejohanan tersebut.
“Denda sebanyak USD7,000 (RM33,000) perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis rasmi,” menurut kenyataan badan induk bola sepak Asia itu.
Insiden berkenaan mencerminkan tahap intensiti tinggi saingan di pentas elit Asia, apabila setiap aspek disiplin pemain diberi perhatian ketat.
Bagi JDT, hukuman tersebut menjadi peringatan jelas bahawa pematuhan terhadap peraturan adalah elemen penting dalam menghadapi cabaran di peringkat tertinggi bola sepak benua. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC