KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih skuad Bawah 17 Tahun negara, Shukor Adan menegaskan anak buahnya kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi, baik dari segi mental mahupun fizikal menjelang aksi separuh akhir Kejohanan Bawah 17 Tahun ASEAN 2026 menentang Laos.
Menurutnya, perlawanan itu bukan sekadar penentu ke pentas akhir, malah bakal mencerminkan masa depan generasi muda Harimau Malaya.
“Dari sudut mental dan psikologi, kami sudah bersedia. Kami telah menganalisis kekuatan Laos dan pemain faham apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Shukor turut menjelaskan bahawa persiapan rapi telah dilakukan termasuk aspek taktikal serta pemulihan pemain selepas mengharungi jadual perlawanan peringkat kumpulan yang padat.
“Pemulihan sangat penting bagi memastikan pemain kekal segar dan bebas kecederaan menjelang aksi penting ini,” ujarnya.
Mengulas kekuatan lawan, beliau tidak memandang mudah Laos yang sebelum ini mencuri tumpuan selepas menewaskan Thailand di peringkat kumpulan.
“Laos pasukan yang berdisiplin dan tersusun. Mereka ada komitmen tinggi. Kami perlu kekal fokus sepanjang permainan,” jelasnya.
Sementara itu, kapten pasukan, Adam Muqri Muhaizam turut melaungkan keyakinan tinggi dalam kalangan pemain untuk melangkah ke final.
“Kami bersyukur dapat mara ke separuh akhir. Dari segi mental dan fizikal, kami bersedia. Kami akan berjuang habis-habisan untuk menang dan ke final,” katanya.
Tambahnya, keputusan positif sebelum ini turut meningkatkan keyakinan pasukan menjelang aksi getir tersebut.
Dalam masa sama, Shukor menekankan kepentingan disiplin di bahagian pertahanan bagi mengekang ancaman Laos yang memiliki kepantasan dalam serangan balas.
“Kami perlu kekal tersusun di bahagian pertahanan. Laos ada kelajuan dan boleh menghukum kesilapan. Fokus setiap saat amat penting,” katanya.
Gabungan perancangan taktikal Shukor dan semangat juang tinggi diketuai Adam Muqri kini menjadi senjata utama skuad negara yang tampil dengan satu kepercayaan bahawa langkah ke final bukan lagi angan-angan, sebaliknya sasaran yang wajib direalisasikan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM