JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) bersedia menghadapi detik penting dalam pentas bola sepak Asia selepas mengetahui potensi lawan mereka di peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2025/26.
Keputusan undian rasmi menyaksikan Harimau Selatan berkemungkinan berdepan juara bertahan, Al Ahli Saudi atau kelab gergasi Qatar, Al Duhail, satu cabaran besar namun cukup mengujakan buat wakil Malaysia itu.
Ketua Pegawai Operasi (COO) merangkap Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards berkata, beliau menyambut baik cabaran tersebut dan menganggap pertemuan dengan pasukan elit Asia sebagai peluang terbaik untuk menguji kemampuan sebenar kelab.
“Di peringkat ini, semua pasukan sangat kuat. Kami teruja kerana dapat menentang kelab berstatus besar. Ia bagus untuk JDT dan juga bola sepak Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, kemaraan JDT ke tahap ini bukan sekadar perlawanan biasa, sebaliknya mencerminkan perkembangan dan kemajuan kelab yang kini mampu berdiri sebaris dengan gergasi Asia.
“Pendekatan kami langkah demi langkah. Ini pasukan ikonik di Asia dan kami bangga mewakili Johor serta Malaysia di pentas ini,” ujarnya.
Tambah Edwards, kekuatan JDT bukan sahaja terletak pada pemain, tetapi juga struktur organisasi dan kepimpinan yang kukuh.
“Kami mempunyai pasukan yang hebat dengan struktur dan kepimpinan yang kuat. Kita tidak tahu, mungkin kami boleh pergi jauh,” katanya optimis.
Mengulas cabaran bakal dihadapi, beliau mengakui faktor persekitaran baharu di Jeddah bakal menjadi ujian utama buat skuad kendalian JDT.
“Ia sesuatu yang tidak diketahui. Kami biasa beraksi di zon Timur seperti Jepun dan Thailand, tetapi kali ini suasananya berbeza. Kami perlu cepat menyesuaikan diri,” jelasnya.
Menurutnya, faktor perjalanan jauh, cuaca serta perbezaan corak permainan antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh barisan kejurulatihan.
Dalam masa sama, Edwards menegaskan persiapan rapi telah dilakukan lebih awal termasuk analisis terperinci terhadap semua lawan berpotensi.
“Kami sudah mengkaji semua kemungkinan lawan. Pasukan analisis telah kumpul data dan rakaman perlawanan. Kini kami boleh fokus lebih spesifik untuk memperkemaskan strategi,” katanya.
Sebagai rekod, pencapaian JDT di pentas Asia kali ini bukan sahaja membawa nama kelab, malah menjadi platform untuk mengangkat reputasi bola sepak Malaysia ke tahap lebih tinggi.
Berdepan sama ada Al Ahli Saudi atau Al Duhail, Harimau Selatan kini melangkah ke wilayah baharu dengan keyakinan, struktur kukuh dan cita-cita besar untuk mencipta kejutan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST