JOHOR BAHRU – Ketua Pegawai Eksekutif Johor Darul Ta’zim (JDT), Luis Garcia tampil membidas dakwaan berhubung isu penyalahgunaan status kewarganegaraan pemain dalam bola sepak Malaysia yang dikaitkan dengan kelab itu.
Kontroversi tercetus selepas wartawan penyiasatan, Romain Molina mendakwa wujud salah guna sistem kewarganegaraan pemain yang kononnya memberi kelebihan kepada JDT, sekali gus mengundang perhatian komuniti bola sepak serantau.
Garcia bagaimanapun menyifatkan dakwaan tersebut sebagai mengelirukan dan tidak disertakan konteks yang tepat.
Menurutnya, JDT sendiri pernah berdepan tindakan disiplin melibatkan tiga pemain, sekali gus menafikan sebarang kelebihan seperti yang didakwa.
“Tiada asas logik untuk mengatakan perkara ini memberi kelebihan kepada kami,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Dalam masa sama, Garcia turut mempersoalkan mengapa JDT dijadikan sasaran utama, sedangkan jika wujud isu struktur dalam bola sepak negara, ia sepatutnya dilihat secara menyeluruh dan bukan tertumpu kepada satu pasukan sahaja.
“Jika ada kelemahan dalam sistem, ia melibatkan banyak pihak, bukan satu kelab sahaja. Menuding jari kepada satu pasukan hanya mewujudkan persepsi tidak tepat,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang sinonim dengan JDT tidak mempunyai kaitan langsung dalam isu berkenaan.
“Mengaitkan individu yang tiada hubungan langsung hanya melemahkan kredibiliti dakwaan,” ujarnya.
Garcia dalam pada itu mengingatkan agar semua pihak lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat, khususnya melibatkan isu integriti dan tadbir urus bola sepak.
Katanya, sebarang tuduhan perlu disokong fakta sahih bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat yang boleh menjejaskan reputasi sukan itu sendiri. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Luis Garcia