epa09330670 An United Malays National Organisation (UMNO) flag waves outside their headquarters in Kuala Lumpur, Malaysia, 08 July 2021. UMNO, the biggest party in Malaysia, has withdrawn its support for the 'Perikatan Nasional' (PN) government led by Malaysian Prime Minister Muhyiddin Yassin and called for his resignation, accodring to a statement by UMNO president Ahmad Zahid Hamidi, made in during a late night online press conference on 07 July 2021. EPA/FAZRY ISMAIL
KUALA LUMPUR – Pergolakan dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat semakin meruncing sehingga mencetuskan cadangan agar parti itu kembali kepada akar asal perjuangan bersama UMNO demi kestabilan politik Melayu.
Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, krisis kepimpinan yang melanda Bersatu ketika ini termasuk pemecatan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta spekulasi penubuhan parti baharu membuktikan wujud ketidakharmonian serius dalam parti itu.
Menurut beliau, keadaan tersebut menimbulkan persoalan besar terhadap hala tuju Bersatu selain menggugat kedudukannya dalam landskap politik negara.
“Pergolakan dalaman, krisis kepimpinan dan isu kesetiaan ahli menunjukkan Bersatu berada dalam situasi yang sangat mencabar untuk kekal relevan,” katanya dalam kenyataan sempena ulang tahun ke-78 UMNO, hari ini.
Beliau turut menyentuh kecenderungan Bersatu yang dilihat semakin rapat dengan Pakatan Harapan (PH), walaupun perkara itu dinafikan dan parti tersebut masih kekal bersama Perikatan Nasional (PN).
Dalam masa sama, Mohd Yussof mencadangkan agar ahli-ahli Bersatu kembali kepada UMNO yang disifatkan sebagai parti asal perjuangan mereka.
“Bersatu sebenarnya serpihan daripada UMNO. Ramai pemimpinnya termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berasal daripada UMNO.
“Mereka ‘berdarah’ UMNO dan cara fikir juga berteraskan perjuangan UMNO, justeru sudah tiba masanya untuk kembali memperkukuh kesatuan Melayu,” ujarnya.
Tambah beliau, UMNO kini membuka ruang kepada bekas ahlinya untuk kembali, termasuk mereka yang pernah dipecat, digantung atau meninggalkan parti sebelum ini.
Katanya, pengalaman serta pengaruh dimiliki pemimpin seperti Muhyiddin mampu membantu mengukuhkan semula keyakinan orang Melayu terhadap UMNO dalam menghadapi cabaran politik semasa.
“Lupakan sengketa lalu dan kembali kepada tunjang asal. Pemimpin UMNO juga perlu melihat kepentingan lebih besar, bukan sekadar kepentingan kelompok atau kroni.
“Sempena Aidilfitri ini, jadikan ia titik permulaan untuk penyatuan dan mempererat silaturahim sesama pemimpin Melayu,” katanya. – DETIK MALAYSIA