KUALA LUMPUR – Ketika jutaan peminat bola sepak di seluruh dunia menumpukan perhatian kepada aksi Piala Dunia FIFA 2026, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid menyifatkan dunia turut menyaksikan satu lagi peristiwa bersejarah apabila jutaan rakyat memenuhi jalan-jalan di Tehran bagi mengiringi upacara pengebumian Ayatollah Sayyid Ali Khamenei.
Mohd Azmi yang berada di Tehran berkata, kedua-dua himpunan besar itu menggambarkan dua bentuk penghimpunan yang berbeza iaitu satu meraikan kejayaan sukan, manakala satu lagi bertujuan memberi penghormatan kepada seorang pemimpin yang menurutnya meninggalkan legasi perjuangan, keimanan dan pengorbanan.
“Hari ini dunia menyaksikan dua peristiwa luar biasa.
“Di satu bahagian dunia, jutaan manusia memenuhi stadium dan menonton siaran Piala Dunia FIFA. Di bahagian lain pula, jutaan rakyat memenuhi jalan-jalan di Tehran untuk memberi penghormatan terakhir kepada seorang pemimpin yang mereka anggap sebagai simbol maruah, pengorbanan dan keteguhan pendirian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perarakan pengebumian itu bukan sekadar memperlihatkan kesedihan rakyat, malah mencerminkan keazaman mereka untuk mempertahankan identiti, nilai serta keyakinan yang dipegang.

Menurutnya, mereka yang menyangka pembunuhan pemimpin berkenaan akan melemahkan semangat penyokongnya sebaliknya menyaksikan himpunan yang menunjukkan kesinambungan perjuangan.
“Sejarah membuktikan bahawa idea dan prinsip mampu hidup lebih lama daripada individu yang memperjuangkannya,” katanya.
Dalam masa sama, Mohd Azmi turut menyeru umat Islam mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut dengan memperkukuhkan perpaduan serta mengatasi perpecahan dalaman.
Katanya, sesebuah tamadun tidak mampu membentuk masa depan sekiranya terus dibelenggu perselisihan, manakala perpaduan pula tidak semestinya menuntut persamaan pandangan, sebaliknya memerlukan komitmen bersama terhadap keadilan, ihsan, syura dan mempertahankan maruah manusia.
Beliau berkata, masa depan bukan hanya ditentukan oleh kekuatan ketenteraan, ekonomi atau teknologi, malah turut bergantung kepada keupayaan sesebuah masyarakat mempertahankan keyakinan, prinsip moral dan kesatuan ketika berdepan cabaran.
Mohd Azmi kini berada di Tehran bagi mengikuti perkembangan upacara penghormatan terakhir kepada Allahyarham Ayatollah Sayyid Ali Khamenei. – DETIK MALAYSIA
