SHAH ALAM – Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid mendakwa menyaksikan sendiri jutaan rakyat Iran memenuhi jalan-jalan utama di Tehran bagi mengiringi perarakan jenazah Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Sayyid Ali Khamenei, hari ini.
Perarakan yang berlangsung di ibu negara Iran itu merupakan sebahagian daripada upacara pengebumian negara yang diadakan selepas kematian Khamenei, dengan pihak berkuasa Iran menjangkakan kehadiran orang ramai dalam jumlah yang besar.
Menerusi satu catatan di media sosial, Mohd Azmi menyifatkan suasana yang disaksikannya sebagai detik bersejarah yang akan terpahat dalam sejarah dunia Islam dan kemanusiaan.
Menurutnya, rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat berhimpun sejak sebelum terbit fajar untuk memberikan penghormatan terakhir kepada pemimpin berkenaan.
“Apa yang saya saksikan bukan sekadar sebuah perarakan jenazah. Ia adalah lautan manusia yang menyatakan kesetiaan kepada sebuah perjuangan. Ia adalah sebuah bangsa yang bercakap dengan satu suara,” katanya.
Beliau berkata, jalan-jalan di Tehran bertukar menjadi medan kesaksian apabila warga emas, ibu yang mendukung anak kecil, golongan muda, pelajar, ulama, pekerja, veteran perjuangan serta keluarga syuhada berhimpun dalam satu saf.
Mohd Azmi berpandangan kekuatan Iran bukan semata-mata terletak pada aset ketenteraan, sebaliknya pada semangat rakyat yang disatukan oleh keimanan, pengorbanan dan maruah.
Katanya, meskipun negara itu berdepan sekatan ekonomi, ancaman ketenteraan dan tekanan politik selama puluhan tahun, rakyatnya tetap menunjukkan ketahanan yang tinggi.
“Dalam tempoh puluhan tahun Iran berdepan sekatan ekonomi, ancaman ketenteraan, tekanan politik dan pelbagai usaha untuk melemahkannya, apa yang saya lihat hari ini membuktikan setiap tekanan hanya melahirkan ketahanan yang lebih besar.
“Setiap syahid melahirkan generasi baharu yang lebih bersemangat, manakala setiap cubaan memecah-belahkan mereka akhirnya mengukuhkan lagi perpaduan nasional,” katanya.
Beliau turut menyifatkan ribuan tangan yang digenggam dan diangkat tinggi sepanjang perarakan sebagai simbol tekad rakyat untuk mempertahankan maruah, keadilan dan kebebasan.
Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, peristiwa di Tehran bukan sahaja membawa makna kepada Iran, malah menjadi pengajaran kepada seluruh umat Islam supaya mengukuhkan perpaduan serta mengenepikan perbezaan mazhab, persaingan politik dan kepentingan sempit.
“Saya meninggalkan Tehran dengan satu keyakinan bahawa hari ini bukan sekadar penutup perjalanan dunia seorang pemimpin, malah mungkin menjadi permulaan kepada satu kebangkitan baharu umat Islam,” katanya.
Media antarabangsa melaporkan upacara perarakan jenazah Khamenei berlangsung di Tehran sebagai sebahagian daripada siri penghormatan terakhir sebelum pengebumian, dengan kehadiran orang ramai yang besar di beberapa lokasi utama di ibu negara Iran. – DETIK MALAYSIA
