Penyokong Kelantan Red Warrior FC, Auzaie Afandi.
KUALA LUMPUR – Di sebalik pelbagai isu yang melanda arena bola sepak tempatan, penyokong dan pemain menyeru agar sokongan terhadap kelab kesayangan tidak terhenti, khususnya dengan kehadiran ke stadium yang dilihat sebagai sumber motivasi penting kepada pemain.
Bagi penyokong Kelantan Red Warrior FC, Auzaie Afandi, apa sahaja isu yang berlaku sama ada membabitkan pasukan dalam atau di luar gelanggang, sokongan terhadap kelab perlu terus diberikan.
“Bagi saya apa yang jadi pun, tak kira dalam pasukan atau luar pasukan, kita kena tetap hadir bagi sokongan. Saya sebagai penyokong Kelantan dan saya tetap akan beri semangat kepada mereka sebab kelab ini satu-satunya pasukan dari Kelantan yang bermain dalam Liga Super.
“Kalau bukan kita, siapa lagi yang nak sokong? Beli tiket, datang stadium dan teruskan sokongan,” katanya.
Nada sama turut disuarakan penyokong Kuching City FC, Adib Aiman yang berharap peminat terus memenuhi stadium dan memberikan sokongan kepada pemain, tanpa membiarkan isu yang berlaku menjejaskan semangat terhadap bola sepak.
“Bagi saya, apa sahaja isu yang ada, sebagai penyokong saya akan tetap sokong kelab kita. Kepada semua penyokong Kuching City, saya harap ramai-ramai akan terus datang ke stadium dan beri sokongan kepada pemain.
“Harap masalah-masalah yang ada, baik di dalam atau luar padang, kita tetap terus fokus kepada bola sepak dan Liga Malaysia,” katanya.
Sementara itu, pemain KL City FC, Gary Steven Robbat mengakui pemain-pemain pastinya berasa sedih sekiranya tiada lagi penyokong setia yang ingin hadir memberi sokongan di stadium kerana kehadiran penyokong menambah suntikan semangat yang besar kepada mereka ketika beraksi.
“Mestilah saya rasa sedih kalau dengar ada penyokong yang nak boikot dan tidak mahu datang ke stadium. Sebagai pemain, kita memang mahu tengok penyokong datang beramai-ramai untuk memberikan sokongan.
“Suara di stadium itu yang kami sentiasa nak dengar dan kita sentiasa akan menghargai mereka yang datan, tengok kami beraksi tak kira menang atau kalah,” katanya.
Seorang lagi pemain KL City FC, Adam Nor Azlin turut mengakui kehadiran penyokong di stadium mempunyai pengaruh besar terhadap motivasi pemain dan berharap peminat tidak menjauhkan diri daripada kelab ketika pasukan amat memerlukan sokongan.
“Kepada semua penyokong bola sepak tanah air, kita tahu apa yang jadi di luar padang, ada sesetengah perkara yang kita tidak mampu nak kawal.
“Jadi, saya seru kepada semua penyokong, hadir di setiap perlawanan, menyokong pasukan anda. Insya-Allah, lagi ramai yang datang ke stadium, lagi meriah bola sepak tanah air dan sama-samalah kita berharap akan ada sinar di hujung jalan nanti,” katanya. – DETIK MALAYSIA
