JAKARTA – Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino memberi jaminan Piala ASEAN FIFA 2026 bakal menyajikan aksi menarik dan momen tidak terlupakan buat peminat bola sepak Asia Tenggara.
Kejohanan sulung itu akan mencipta sejarah apabila berlangsung dari 24 September hingga 5 Oktober depan.
Bagi edisi pertama, Piala ASEAN FIFA 2026 akan diadakan di Indonesia bagi Divisyen Premier, manakala Hong Kong menjadi tuan rumah bagi Divisyen Cabaran.
Infantino menerusi satu hantaran di media sosial turut menyatakan sokongannya terhadap penganjuran kejohanan berkenaan.
Katanya, Piala ASEAN FIFA menawarkan peluang kompetitif yang bermakna kepada pasukan kebangsaan dalam Kalendar Perlawanan Antarabangsa Lelaki.
“Pada masa sama, ia memberi peluang kepada pemain untuk mewakili negara masing-masing dalam perlawanan yang menyaksikan persaingan sengit di peringkat serantau,” katanya sambil memuat naik foto bersama Ketua Umum PSSI, Erick Thohir.
Infantino turut menyifatkan kejohanan berkenaan mampu mengeratkan hubungan bola sepak di seluruh Asia Tenggara selain menyajikan aksi antarabangsa yang menarik.
Bagi Divisyen Premier, Kumpulan A dihuni Indonesia, Malaysia, Singapura dan Bangladesh, manakala Kumpulan B terdiri daripada Thailand, Vietnam, Filipina dan Pakistan.
Sementara itu, Divisyen Cabaran turut dibahagikan kepada dua kumpulan.
Kumpulan A menampilkan Hong Kong, Laos dan Brunei Darussalam, manakala Kumpulan B membabitkan Kemboja, Myanmar dan Timor-Leste.
“Kejohanan ini akan mempererat hubungan bola sepak di seluruh Asia Tenggara serta menyuguhkan momen-momen tidak terlupakan dan aksi antarabangsa yang memukau bagi para peminat di seluruh rantau ini,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – PSSI
