PETALING JAYA – Selangor FC memastikan kemaraan ke suku akhir Piala FA Malaysia 2026/27 selepas menewaskan Sabah FC 2-1 pada aksi timbal balik pusingan 16 di Stadium MBPJ, di sini malam tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad The Red Giants mencatat kemenangan agregat 4-3 untuk mengesahkan tiket ke kelompok lapan terbaik.
Selangor kendalian Kim Pan-gon bermula dengan baik menerusi gandingan Chrigor Moraes, Tejan Kay dan Faisal Halim di jentera serangan.
Tuan rumah akhirnya membuka tirai jaringan pada babak pertama menerusi Eduardo Sosa yang melepaskan rembatan jarak jauh dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol Sabah, Juan Flere.
Sabah bangkit selepas rehat dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-49.
Park Jungbin mengambil kesempatan daripada kesilapan Harith Haiqal sebelum melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol Selangor, sekali gus menjadikan kedudukan 1-1.
Namun, Selangor kembali di hadapan pada minit ke-56 menerusi Chrigor Moraes.
Penyerang Brazil itu pantas menyambar bola muntah selepas percubaan penalti awalnya berjaya ditepis penjaga gol Sabah untuk meletakkan Selangor 2-1 di depan.
Sabah gagal mendapatkan gol penyamaan selepas itu dan Selangor mempertahankan kelebihan sehingga wisel penamat.
Kemenangan 2-1 tersebut membolehkan Selangor mara dengan agregat 4-3 dan mengesahkan tempat ke suku akhir Piala FA Malaysia 2026/27.
Selangor dijadualkan berdepan Star City pada peringkat suku akhir dalam usaha meneruskan pemburuan trofi musim ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SFC
