GEORGE TOWN – Penang FC bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Melaka FC 2-1 pada aksi kedua pusingan Piala FA Malaysia 2026/27 di Stadium Bandaraya, di sini, sekali gus mara ke suku akhir dengan agregat 3-1.
Penang memasuki perlawanan tersebut dengan kelebihan tipis selepas menang 1-0 ke atas Melaka pada aksi pertama di Stadium Hang Jebat, 2 September lalu hasil jaringan Faith Obilor.
Bagaimanapun, Melaka tampil lebih agresif dan berjaya menyamakan kedudukan agregat pada minit ke-35.
Penyerang import Melaka, Kpah Sherman menyudahkan hantaran lintang Azwan Aripin untuk menewaskan penjaga gol Penang, Khairulazhan Khalid, sekali gus menjadikan kedudukan 1-0 pada malam tersebut dan 1-1 secara agregat.
Penang kemudian meningkatkan tekanan bagi mendapatkan gol untuk kembali berada di hadapan.
Skuad Harimau Kumbang hampir memperoleh gol sebelum rehat menerusi Kosimov Bakhtiyorjon, namun jaringan tersebut dibatalkan selepas pengadil, S. Logeswaran, membuat semakan Video Assistant Referee (VAR).
Semakan berkenaan mendapati berlaku kekasaran di hadapan pintu gol Melaka.
Penang bagaimanapun tidak mengalah dan terus memburu jaringan selepas rehat.
Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-74 apabila kapten Stefano Brundo meledak gol menerusi sepakan percuma untuk memberikan kelebihan kepada Penang secara agregat.
Melaka cuba mencari gol penyamaan pada penghujung permainan, namun Penang terus bertahan sebelum melengkapkan kebangkitan menerusi jaringan pemain gantian, Celestine Enzo pada masa kecederaan.
Gol tersebut memastikan Penang FC menang 2-1 pada aksi kedua dan 3-1 secara agregat untuk menempah tiket ke suku akhir Piala FA.
Kemenangan itu turut membuka kemungkinan Penang berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), sekali lagi selepas kedua-dua pasukan berdepan dalam saingan Piala FA musim lalu.
JDT turut mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas membelasah UM Damansara United 14-1 secara agregat, termasuk kemenangan besar 10-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Penang FC
