SINGAPURA – Lion City Sailors melantik jurulatih dari England, Mark Jackson sebagai ketua jurulatih baharu pasukan itu sehingga 30 Jun 2027.
Jackson, 48, hadir dengan reputasi cemerlang dalam kancah bola sepak Asia selepas membimbing Central Coast Mariners dari Australia dan Buriram United dari Thailand meraih treble domestik serta benua.
Pelantikan itu dijangka memperkukuh hasrat Lion City Sailors untuk melangkah lebih jauh dalam saingan kelab Asia termasuk AFC Champions League Two (ACL Two) dan ASEAN Club Championship (ACC) Shopee Cup.
“Saya amat berbesar hati menyertai kelab hebat ini. Saya tidak sabar untuk memulakan tugas, bertemu pemain, kakitangan serta penyokong dan menjadi sebahagian daripada perjalanan kelab ini.
“Cita-cita dan visi kelab menjadi antara faktor utama keputusan saya untuk menyertai pasukan ini,” katanya.
Pada musim 2023/24, Jackson membawa Central Coast Mariners meraih kejuaraan A-League Men Premiership dan Championship selain membantu kelab itu menjulang trofi AFC Cup.
Beliau kemudian mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih Buriram United pada Oktober tahun lalu sebelum sekali lagi mencipta sejarah apabila membimbing gergasi Thailand itu meraih treble pada musim 2025/26.
Buriram United muncul juara Thai League 1, Thai FA Cup dan Shopee Cup, termasuk menewaskan Selangor FC dalam aksi final Shopee Cup menerusi dua perlawanan pada Mei lalu.
Jackson turut membawa Buriram United ke suku akhir AFC Champions League Elite, sekali gus menyerlahkan keupayaannya bersaing di pentas tertinggi kelab Asia.
Di Lion City Sailors, Jackson akan dibantu Cameron Toshack sebagai penolong jurulatih, yang akan memulakan tugas selepas visa pekerjaan diluluskan.
Pengarah Eksekutif Sailors, Bruce Liang berkata, pengalaman luas serta rekod kejayaan Jackson menjadikannya calon terbaik untuk menerajui pasukan itu.
“Rekod kejayaan Mark di Australia dan Thailand, selain pengalamannya beraksi di peringkat tertinggi bola sepak kelab Asia, menjadikannya sangat sesuai dengan cita-cita kami.
“Kami amat berbesar hati mengalu-alukan kehadirannya ke kelab ini,” katanya.
Jackson akan memulakan tugas secara rasmi selepas visa pekerjaannya diluluskan.
Sementara menunggu kelulusan itu, Varo Moreno kekal sebagai jurulatih interim bagi memastikan kelancaran persiapan pasukan menghadapi cabaran akan datang. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – LCS
