Sebahagian besar pengunjung bersama ahli keluarga masing-masing hadir ke Convo Fest UC TATI 2026 yang berlangsung selama 4 hari bertempat di Kolej Universiti TATI, Kemaman.
KEMAMAN: Kesibukan kerja dan urusan rumah tangga membuatkan masa untuk beriadah bersama keluarga bukan sesuatu yang mudah dicari bagi pasangan Ahmad Fahmi Zuddin, 32, dan isterinya, Sharifah Nur Atiyah.
Justeru, penganjuran Convo Fest UC TATI 2026 di Telok Kalong menjadi peluang buat mereka membawa dua anak keluar bersantai sambil menyertai aktiviti yang berlangsung sepanjang empat hari karnival itu.
Ahmad Fahmi berkata, walaupun aktiviti yang disediakan kelihatan ringkas, kegembiraan anak-anak menyertainya sudah cukup menjadikan kunjungan mereka sekeluarga berbaloi.


“Faktor jarak dan komitmen kerja kadangkala membataskan peluang kami mencari aktiviti yang boleh disertai bersama. Walaupun aktiviti ini mungkin nampak ringkas, kami semua gembira dapat turut serta. Paling penting, anak-anak teruja berada di sini,” katanya.
Bagi Sharifah Nur Atiyah yang merupakan suri rumah sepenuh masa, aktiviti yang berlangsung hingga malam memberinya lebih banyak ruang untuk membawa keluarga berkunjung tanpa terlalu terikat dengan urusan harian.
Katanya, waktu malam lebih sesuai untuk mereka sekeluarga menikmati suasana karnival selepas selesai menguruskan keperluan di rumah.
Sementara itu, Pengarah Program Convo Fest UC TATI 2026, Kamrol Amri Mohamed berkata, penganjuran kali ini memberi penekanan kepada penglibatan masyarakat setempat, berbeza daripada pendekatan yang lebih tertumpu kepada warga kampus sebelum ini.
Beliau yang juga Pengurus Jabatan Pengurusan Strategik dan Kualiti UC TATI berkata, institusi itu mahu menggunakan acara bersempena Majlis Konvokesyen ke-26 berkenaan untuk mengukuhkan hubungan dengan penduduk sekitar, terutama komuniti kampung berhampiran.

“UC TATI sudah bertapak hampir 33 tahun di Telok Kalong. Jadi, kami mengambil peluang sempena konvokesyen ini untuk mengeratkan lagi hubungan dengan penduduk dan komuniti setempat,” katanya.
Selain jualan makanan dan produk tempatan, karnival itu turut menampilkan pelbagai aktiviti termasuk program keagamaan, motivasi dan keusahawanan untuk menarik penyertaan pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Kamrol Amri berkata, program berkenaan juga menjadi ruang untuk mendekatkan golongan muda, khususnya dari kawasan luar bandar, dengan peluang pendidikan tinggi serta bidang pengajian yang ditawarkan UC TATI.
Majlis Konvokesyen ke-26 UC TATI menyaksikan seramai 380 graduan menerima pengiktirafan selepas menamatkan pengajian pada peringkat sarjana dan ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan, sains komputer, reka bentuk grafik serta pengurusan teknologi.
UC TATI, yang ditubuhkan pada 1993 dan berpusat di Telok Kalong, Kemaman, memberi tumpuan kepada pendidikan teknikal dan kejuruteraan bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan industri.
