MAKASSAR, INDONESIA – Koperasi Homestay Teluk Ketapang, Terengganu memperluas jaringan kerjasama antarabangsa menerusi penganjuran kolokium dan seminar bersama Institut Bisnis dan Keuangan (IBK) Nitro di Makassar, Indonesia, malam tadi.
Program itu menjadi platform untuk menghubungkan institusi pendidikan tinggi dengan pengusaha komuniti bagi memperkukuh keusahawanan sosial, khususnya dalam pembangunan ekonomi berasaskan masyarakat.
Kolokium berkenaan dihadiri Rektor IBK Nitro, Dr. H. Muh Hatta Alwi dan Pengerusi Koperasi Homestay Teluk Ketapang, MD Azmi A. Aziz.
Penganjuran itu merupakan sebahagian daripada rangkaian program Celebes Summit on Education and Culture yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Oktober ini.
Program berkenaan dianjurkan oleh Bandara Internasional Sultan Hasanuddin dengan kerjasama South East Asia Academic Mobility (SEAAM).
Wakil penganjur dan SEAAM, Ismail Suardi Wekke berkata, kerjasama itu bukan sekadar pertemuan rasmi, sebaliknya langkah untuk membangunkan ekosistem keusahawanan sosial di peringkat ASEAN.
Beliau berkata, sinergi antara institusi akademik dengan pengamal industri penting bagi menghasilkan inovasi sosial yang mampu menyokong pembangunan ekonomi masyarakat.
Menurutnya, mahasiswa dan ahli akademik IBK Nitro juga diharap dapat mempelajari pengalaman Koperasi Homestay Teluk Ketapang dalam menguruskan pelancongan serta ekonomi berasaskan komuniti.
Penglibatan Bandara Internasional Sultan Hasanuddin dalam program itu pula mencerminkan sokongan rentas sektor bagi merangsang pertumbuhan pelancongan serantau.
Ismail berkata, Celebes Summit on Education and Culture berperanan sebagai penghubung antara potensi tempatan Sulawesi Selatan dengan pengalaman serta jaringan antarabangsa.
Kerjasama itu sekali gus membuka ruang kepada pertukaran pengetahuan antara institusi pendidikan tinggi Indonesia dengan koperasi dari Malaysia dalam usaha memperkukuh pembangunan komuniti menerusi pelancongan dan keusahawanan sosial. – DETIK MALAYSIA
