KUCHING – Kuching City mengesahkan slot ke separuh akhir Piala FA selepas membenam Kelantan City 4-1 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Taha Ariffin, malam tadi.
Kemenangan itu menyaksikan Kuching City mara dengan agregat 5-1 sekali gus memusnahkan harapan Kelantan City, pasukan dari Liga A1 Semi-Pro, untuk mencipta kejutan.
Ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak mempertaruhkan barisan serangan mantap yang diketuai Safawi Rasid dan penyerang import dari Bosnia, Ajdin Mujagic.
Percaturan itu membuahkan hasil apabila pemain import Jepun, Yuki Tanigawa membuka tirai jaringan menerusi tandukan pada minit ke-11.
Mujagic kemudian menggandakan kelebihan tuan rumah lapan minit selepas itu apabila mudah menolak masuk hantaran lintang tepat daripada Joao Pedro untuk menewaskan penjaga gol Kelantan City, Fikri Che Soh.
Kelantan City bagaimanapun merapatkan jurang sebelum rehat apabila Hadin Azman meledak gol menerusi rembatan jarak jauh menarik yang menewaskan penjaga gol Kuching City, Shahril Shaari untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Namun, babak kedua menjadi milik Mujagic apabila penyerang itu meledak dua gol tambahan pada minit ke-67 dan ke-81 bagi melengkapkan hatrik peribadi, sekali gus memastikan kemenangan selesa buat Kuching City.
Kejayaan itu membolehkan The Cats menempah tempat ke separuh akhir dan kini menunggu pemenang pertembungan antara Selangor dengan Star City yang dijadual berlangsung pada Ahad. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – KCFC
