KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Teras Pengupayaan Melayu menyokong penuh langkah kerajaan mewartakan 50 ekar tanah sebagai Tanah Rizab Melayu (TRM), namun menegaskan usaha itu perlu diperluaskan dengan mengembalikan keluasan tanah rizab yang telah pupus atau hilang status sejak beberapa dekad lalu.
Presiden Mapim dan Teras Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pewartaan tersebut merupakan langkah yang wajar dalam mempertahankan hak yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang berkaitan Tanah Rizab Melayu.
“Bagaimanapun, pewartaan itu tidak seharusnya dilihat sebagai langkah yang memadai. Kerajaan perlu melaksanakan dasar yang lebih menyeluruh untuk mengembalikan keluasan Tanah Rizab Melayu yang telah pupus, dibatalkan, dinyahwartakan atau ditukar status sejak beberapa dekad lalu,” katanya dalam kenyataan bersama hari ini.
Menurut beliau, Tanah Rizab Melayu bukan sekadar aset ekonomi, sebaliknya menjadi benteng strategik bagi menjamin pemilikan tanah orang Melayu dan Bumiputera, mengukuhkan kedudukan sosioekonomi masyarakat serta memastikan generasi akan datang tidak kehilangan warisan yang menjadi asas kelangsungan mereka.
Sehubungan itu, Mapim dan Teras menggesa kerajaan melaksanakan audit nasional terhadap semua Tanah Rizab Melayu bagi mengenal pasti keluasan asal, keluasan semasa serta tanah yang telah kehilangan statusnya.
Selain itu, kedua-dua pertubuhan itu turut menggesa kerajaan mengembalikan status tanah rizab yang telah dinyahwartakan atau menggantikannya dengan tanah lain yang mempunyai keluasan dan nilai setara mengikut kehendak undang-undang.
Mereka juga mahu sebarang tindakan yang boleh menghakis keluasan Tanah Rizab Melayu tanpa penggantian yang adil dan telus dihentikan, selain menggesa kerajaan menggubal pelan tindakan jangka panjang bagi meningkatkan keluasan tanah rizab sebagai aset strategik negara.
Dalam masa sama, kedua-dua pertubuhan itu mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa pemantauan yang melibatkan kerajaan negeri, pakar perundangan, institusi akademik serta badan masyarakat sivil bagi memastikan dasar berkaitan Tanah Rizab Melayu dilaksanakan secara telus dan berkesan.
“Kami menyeru semua kerajaan negeri supaya melihat isu Tanah Rizab Melayu sebagai agenda nasional yang merentasi kepentingan politik. Tanah yang telah hilang amat sukar untuk diganti, justeru setiap keputusan berkaitan Tanah Rizab Melayu hendaklah dibuat dengan penuh tanggungjawab, amanah dan berpandangan jauh,” katanya.
Mohd Azmi menegaskan, Mapim dan Teras akan terus memantau pelaksanaan dasar berkaitan Tanah Rizab Melayu serta bersedia bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan kelangsungan pemilikan tanah oleh orang Melayu dan Bumiputera terus terpelihara untuk generasi akan datang. – DETIK MALAYSIA