KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperincikan statistik tindakan tatatertib terhadap pegawainya agar pendedahan yang dibuat lebih telus dan memberi gambaran sebenar mengenai tahap integriti dalam organisasi itu.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, pihaknya mengambil maklum pendedahan bahawa sebanyak 226 tindakan tatatertib telah dikenakan terhadap pegawai SPRM sejak 2021.
Menurut beliau, MCW menghargai komitmen kerajaan dan SPRM yang mengambil tindakan terhadap pegawai yang melanggar peraturan, namun angka semata-mata tidak memadai untuk menggambarkan tahap integriti sesebuah organisasi.
“Statistik tersebut perlu diperincikan mengikut kategori kesalahan. Masyarakat berhak mengetahui berapa banyak kes melibatkan rasuah, salah guna kuasa, konflik kepentingan, kebocoran maklumat, pemerasan atau penyelewengan serta berapa pula yang membabitkan kes disiplin pentadbiran seperti ponteng kerja, lewat hadir, ingkar arahan atau pelanggaran etika perkhidmatan.
“Pengelasan ini penting bagi mengelakkan salah tafsir bahawa semua kes tatatertib berkaitan rasuah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pendekatan sama wajar diperluaskan kepada semua agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta agensi penguat kuasa pihak berkuasa tempatan.
Katanya, semua agensi terbabit perlu menerbitkan statistik tatatertib mengikut format yang seragam bagi memudahkan penelitian dan meningkatkan ketelusan dalam sektor penguatkuasaan.
Dalam pada itu, Jais turut mencadangkan supaya kerajaan menerbitkan Laporan Integriti Tahunan Agensi Penguat Kuasa yang mengandungi maklumat lengkap termasuk jumlah aduan diterima, jenis kesalahan, keputusan siasatan, bentuk hukuman, tempoh penyelesaian kes serta tindakan pembetulan yang telah diambil.
“Langkah ini akan membolehkan analisis yang lebih objektif, membantu penambahbaikan dasar berasaskan bukti serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi penguat kuasa,” katanya.
Menurut beliau, usaha membanteras rasuah tidak boleh dipikul oleh SPRM semata-mata, sebaliknya perlu menjadi budaya yang dikongsi oleh seluruh ekosistem penguatkuasaan negara melalui amalan ketelusan, akauntabiliti dan penambahbaikan secara berterusan. – DETIK MALAYSIA