KUALA TERENGGANU – Koperasi Homestay Teluk Ketapang (HTK) dan pengurusan HTK mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, YM Dato’ Tengku Mohd Ariffin bagi membincangkan kerjasama dalam sektor pelancongan negeri itu.
Kunjungan berkenaan turut disertai pengurusan tertinggi jabatan berkenaan serta Ketua Pegawai Eksekutif Taman Tamadun Islam Management Berhad.
Pertemuan itu antara lain menyentuh usaha memperkukuh promosi pelancongan Terengganu menerusi beberapa program yang dirancang, termasuk FAM Trip Terengganu Darul Iman (TDI) 2026.
Program berkenaan bakal membabitkan 47 delegasi dari empat negara Asia Tenggara bagi menyokong promosi Visit Truly Terengganu 2027.
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu turut menyatakan persetujuan untuk membantu menjayakan program itu serta merasmikan majlis berkenaan di Quinara Al Safir Resorts.
Selain itu, pertemuan tersebut turut membincangkan perancangan program Edu-Tourism 2027 dan ASEAN Youth Forum on Tourism 2026 yang dijadual berlangsung pada 28 Oktober ini. – DETIK MALAYSIA
